KUALA LUMPUR 6 Feb - Hubungan baik Malaysia dan Arab Saudi diterjemahkan apabila delegasi Kementerian Pertahanan (Mindef) hadir pada pameran pertahanan World Defense Show 2024 (WDS) di Riyadh.
Kehadiran ini bagi memenuhi jemputan kerajaan Arab Saudi sebagai menzahirkan kerjasama pertahanan kedua-dua negara.
WDS 2024 yang berlangsung sehingga Khamis ini menghimpunkan pemain industri pertahanan dalam mengetengahkan kelengkapan berasaskan teknologi terkini merangkumi domain darat, udara, laut dan siber.
Ini merupakan penganjuran kali kedua selepas edisi pertama pada tahun 2022.
Ia menjadi salah satu pameran perdagangan keselamatan dan pertahanan terkemuka di Timur Tengah.
Dalam lawatan ini, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan delegasi mengadakan pertemuan dengan pemain-pemain utama industri pertahanan antarabangsa bagi mendapatkan perkembangan terkini kelengkapan dan aset pertahanan.
Sesi perbincangan sesama pemain industri antarabangsa dan entiti kerajaan yang mengambil bahagian dmdari seluruh dunia ini mengukuhkan kerjasama strategik.
Turut hadir pada WDS 2024 ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Kehadiran delegasi Mindef juga dimanfaatkan untuk mempromosikan pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) di Kuala Lumpur pada Mei depan.
Turut diadakan pada ialah Forum Pertahanan Masa Hadapan melibatkan beberapa perwakilan lain termasuk pegawai kanan kerajaan, pegawai tentera dan pemain industri.
WDS 2024 menampilkan lebih 750 peserta pameran dari 65 negara dengan 23 daripadanya merupakan penyertaan kali pertama.
Antara pempamer terbesar ialah firma pertahanan dari Turki, China, Rusia dan Amerika Syarikat.
Kecerdasan buatan dan kenderaan berkuasa elektrik antara dua segmen yang mendapat tumpuan pada acara tersebut selain teknologi dron.
Pada edisi pertama, acara ini telah menarik 600 peserta pameran dan menghasilkan kira-kira AS$8 bilion dalam jumlah pesanan dan perjanjian.
Dalam konteks ekonomi pertahanan, Arab Saudi dikenali sebagai negara yang mewah berbelanja.
Tahun ini negara Teluk itu memperuntukkan AS$71.72 bilion untuk perbelanjaan ketenteraan iaitu lebih besar berbanding tahun lalu.
Selain menjadi pembeli, Arab Saudi turut membangunkan industri pertahanan sendiri yang mana WDS menjadi platform utama untuk menonjolkan kemampuan negara itu.
Rakan kongsi tempatan termasuk Saudi Arabian Military Industries (SAMI), stc dan Saudia adalah beberapa penaja utama acara tersebut.
Ia menyasarkan untuk mencapai lebih 50 peratus penglibatan industri pertahanan tempatan daripada jumlah perbelanjaan ketenteraan negara menjelang tahun 2030.
Justeru, acara ini dilihat sebagai peluang untuk kerajaan Arab Saudi mempamerkan potensinya kepada pelabur asing seterusnya memberi peluang kepada firma antarabangsa untuk meneroka potensi. - DagangNews.com