Yayasan Vinod Sekhar sumbang RM200k bantu kebajikan COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Yayasan Vinod Sekhar sumbang RM200k bantu kebajikan COVID-19

 Yayasan Vinod Sekhar

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Yayasan pendidikan dan kabajikan kanak-kanak, Yayasan Vinod Sekhar menghulurkan sumbangan bernilai RM200,000 untuk membantu kerja-kerja kebajikan berkaitan COVID-19.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRA Group, Datuk Dr. Vinod Sekhar berkata, kerja kabajikan tersebut dijalankan oleh sekumpulan individu yang telah mengorbankan masa dan tenaga bagi membantu golongan yang memerlukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

"Ketika kebanyakan rakyat Malaysia berlindung di rumah, kumpulan individu ini mempertaruhkan nyawa mereka membantu mereka yang berada dalam kesulitan. Ini merupakan bukti semangat muafakat dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Apa yang telah dikorbankan mereka ini, telah membantu hidup ramai orang yang terus terkesan akibat COVID-19. Saya ingin berterima kasih kepada mereka kerana telah memberi peluang kepada Yayasan Vinod Sekhar untuk turut menyumbang kepada kerja-kerja kebajian mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dana bernilai RM200,000 itu disalurkan untuk kerja amal dan program bermula Ogos hingga Disember.

Dalam pada itu, Pengasas dan Presiden Kumpulan VERITAS Design Group, David Hashim turut berikrar untuk menyumbang RM20,000 kepada Yayasan Vinod Sekhar bagi inisiatif tersebut.

Inisiatif murni itu akan diuruskan sepenuhnya oleh penyiar radio veteren, Patrick Teoh dan pelakon terkenal, Hans Isaac.

(Dari kiri) Soh Sook Hwa, Patrick Teoh, Siti Rahayu Bharin, Subhasree Vairamuthu, Sheila Phillip, Vinod Sekhar, Vinodt Apparao, Bawani Apparao, dan Hanim Seymore.
(Dari kiri) Soh Sook Hwa, Patrick Teoh, Siti Rahayu Bharin, Subhasree Vairamuthu, Sheila Phillip, Vinod Sekhar, Vinodt Apparao, Bawani Apparao, dan Hanim Seymore.

 

Seramai tujuh individu yang terlibat dengan kerja kebajikan tersebut turut dianugerahkan sijil penghargaan daripada pihak yayasan.

Berlainan latar belakang dan kerjaya, tujuh individu tersebut adalah daripada For Goodness Cakes, Sheila Philip, dua penyumbang bebas, Subhasree Vairamuthu dan Soh Sook Hwa; Pusat Jagaan Kanak-kanak Wp& Pusat Kabajikan Warga Tua Wilayah Persekutuan, Vinodt Apparao; dua dari Buku Jalanan Chiw Kit, Hanim Seymore dan Siti Rahayu Bahrin serta dari The Fire Grill, Shanker Shanthiram.

Tambah Vinod, usaha murni itu tidak seharusnya berakhir di situ dan akan terus menyokong golongan yang memerlukan.

"Ini merupakan nilai murni yang paling kuat di dunia. Ini juga memberi inspirasi kepada kita yang berkemampuan ini untuk terus berbuat dengan lebih baik," ujarnya lagi. - DagangNews.com