Yinson, Dinamikjaya Motors bekerjasama sebagai rakan kongsi pajakan EV | DagangNews Skip to main content

Yinson, Dinamikjaya Motors bekerjasama sebagai rakan kongsi pajakan EV

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Yinson GreenTech (YGT), bahagian teknologi hijau Yinson Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, Yinson Green Technologies Pte. Ltd. akan bekerjasama Dinamikjaya Motors Sdn. Bhd. (DJM) sebagai sebagai rakan kongsi pajakan kenderaan elektrik (EV).

 

DJM merupakan pengedar kenderaan Kia di Malaysia dan anak syarikat milik 65% Bermaz Auto Berhad

 

Menerusi kerjasama itu, model EV yang diedarkan oleh DJM seperti Kia EV6 dan model Kia EV akan disediakan untuk pajakan melalui YGT, yang menawarkan perkhidmatan pemajakan untuk van elektrik, bas, kereta dan motosikal.

 

Pakej pajakan untuk model EV itu disertakan dengan keahlian percuma sepanjang tempoh pajakan dengan chargEV - penyedia rangkaian infrastruktur pengecasan terbesar di Malaysia dengan lebih daripada 400 stesen pengecasan.

 

Yinson memiliki pegangan majoriti dalam usaha sama untuk mengkomersialkan, mengendalikan dan menyelenggara infrastruktur pengecasan di Malaysia melalui jenama chargEV.

 

Naib Presiden Eksekutif Teknologi dan Usaha Niaga Baharu Yinson, Eirik Barclay berkata, DJM merupakan rakan kongsi yang memiliki visi yang sama seperti pihaknya untuk sistem pengangkutan yang lebih bersih, lebih mampan di Malaysia.

 

yinson

 

"Hanya menerusi kerjasama seperti itu, kami dapat merealisasikan matlamat untuk memperkasa ekosistem mobiliti dan tenaga yang mampu dimiliki dan diakses oleh orang ramai.

 

Naib Presiden Eksekutif Usaha Niaga Baharu YGT, Kelvin Soo berkata, permintaan untuk EV di Malaysia berkembang pesat sejajar dengan peningkatan tumpuan kerajaan, industri automotif dan pengguna.

 

"Kami teruja untuk bekerjasama dengan DJM dalam menyediakan penyelesaian pajakan EV bersepadu berkualiti tinggi ini kepada pelanggan bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bermaz Auto dan Pengarah DJM, Datuk Francis Lee berkata, pihaknya berharap dapat bekerjasama dengan YGT dan menjadi rakan kongsi pajakan pihaknya dalam menyediakan penyelesaian mobiliti alternatif melalui program itu.

 

Perkhidmatan pajakan EV penuh YGT termasuk penyelenggaraan dan servis komprehensif, cukai jalan dan pembaharuan insurans, sistem pengurusan pengecasan bateri dan penyelesaian digital bersama-sama dengan pembalut badan penuh.

 

Selain itu, model EV terpilih akan disepadukan dengan sistem teknologi pintar Yinson yang mesra pengguna, membantu syarikat memantau serta mengoptimumkan serta menjejak prestasi kenderaan dan juga menyediakan kemudahan kunci digital. - DagangNews.com