YTL Power: Impak minimum daripada had harga tenaga di Singapura - AmInvest Research | DagangNews Skip to main content

YTL Power: Impak minimum daripada had harga tenaga di Singapura - AmInvest Research

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 21 Jun - AmInvest Research mengekalkan saranan `beli' terhadap saham YTL Power International (YTLP) dengan nilai saksama berasaskan SOP yang tidak berubah sebanyak RM1.50/saham, membayangkan PE FY24F sebanyak 10x dan penarafan ESG 3 bintang.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ramalan keuntungan bersih ke atask YTLP tidak berubah kerana AmInvest percaya bahawa kesan pelaksanaan had harga tenaga di Singapura adalah kecil.

 

Baru-baru ini, EMA (Penguasa Pasaran Tenaga Singapura) mengumumkan bahawa pengehadan harga kuasa borong mulai 1 Julai dan seterusnya menggunakan formula yang terikat dengan gas asli dan kos penjanaan.

 

Langkah itu dibuat selepas harga borong terus melonjak di Singapura tahun ini walaupun terdapat kejatuhan mendadak dalam gas asli. Ini sebahagiannya disebabkan oleh cuaca panas dan penutupan loji janakuasa pada bulan Mei untuk menaik taraf turbin.

 

"Kami faham bahawa had harga ialah 2x hingga 3x kos marginal elektrik jangka panjang. Had harga bermula jika harga borong melebihi tahap ini.

 

"Kami percaya bahawa kesan terhadap YTLP adalah minimum. Harga tenaga di Singapura telah berkurangan dan tidak hampir menyentuh had harga," kata firma itu dalam nota hari ini.

 

AmInvest Research berpendapat bahawa harga tenaga borong tidak mungkin melonjak melainkan terdapat lonjakan dalam permintaan atau gangguan besar kepada bekalan gas seperti tahun lepas.

 

USEP (Harga Tenaga Singapura Beruniform) telah turun daripada paras tertinggi S$3,594/MWj pada 15 Mei kepada S$177/MWj pada 13 Jun.

 

Selain itu, kira-kira 75% daripada hasil tenaga YTLP PowerSeraya di Singapura adalah berdasarkan kontrak, yang terikat dengan pelanggan selama 2 tahun. Baki 25% daripada hasil adalah berdasarkan kontrak spot. Oleh itu, risiko bahawa had harga akan menjejaskan margin adalah kecil.

 

YTLP kini berdagang pada FY24F PE sebanyak 8x, yang lebih rendah daripada purata 2 tahun sebanyak 24x. - DagangNews.com