Zii Jia masih ada peluang beraksi di Sukan Komanwel, Sukan Asia | DagangNews Skip to main content

Zii Jia masih ada peluang beraksi di Sukan Komanwel, Sukan Asia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Jan - Pemain perseorangan No.1 negara, Lee Zii Jia masih berpeluang untuk beraksi di temasya Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun ini sekiranya membuat rayuan terhadap tindakannya meninggalkan skuad kebangsaan.

 

Timbalan Presiden BAM 2, Datuk Seri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, badan induk itu akan menimbangkan untuk menyenaraikan semula namanya bergantung kepada keperluan negara. 

 

"Namanya akan diberikan pertimbangan sekiranya dia mengemukakan rayuan. Rayuan itu boleh dikemukakan secepat mungkin," katanya dalam satu sidang media khas di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

 

Pemain berusia 23 tahun itu membuat keputusan untuk meninggalkan skuad kebangsaan pada 11 Januari 2022 dan membuatkan BAM terpaksa mengambil keputusan untuk tidak menyenaraikan namanya ke sebarang kejohanan antarabangsa selama dua tahun bermula 18 Januari 2022.

 

Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, pihaknya sudah mengadakan beberapa siri perbincangan untuk meminta pemain ranking No.7 itu memikirkan semula tindakannya.

 

Pemain itu sebelum ini  memberikan dua alasan iaitu dia tidak tahan dengan tekanan yang dihadapi dalam skuad kebangsaan selain gaya hidup yang ketat di ABM.

 

“Ketika dalam salah satu perbincangan bersama jawatankuasa, Zii Jia meletakkan syarat baru bagi meneruskan kerjayanya bersama BAM. Selepas perbincangan panjang dilakukan, BAM memutuskan untuk menolak syarat berkenaan.

 

“Antara syarat yang diletakkan Zii Jia adalah untuk mempunyai barisan kejurulatihan dan pasukan sokongan sendiri, merancang kejohanan yang mahu disertainya sendiri dan untuk mempunyai penaja sendiri.

 

“Bagi menghargai bakat dimilikinya yang diasah BAM sejak 11 tahun lalu, BAM menawarkan insentif lumayan termasuk pembayaran wang tunai. Bagaimanapun, Zii Jia menolak tawaran berkenaan," katanya yang turut menyatakan bahawa semua pemain perlu mendapatkan kelulusan persatuan bagi menyertai kejohanan di bawah kelolaan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

 

Sementara itu, BAM turut memutuskan untuk tidak mendaftarkan bekas juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa berkuatkuasa 31 Oktober 2021.

 

Jahaberdeen, berkata selepas Jin Wei yang juga bekas pemain perseorangan wanita nombor satu negara menyatakan hasrat untuk bersara, BAM memujuknya untuk mempertimbangkan semula keputusan berkenaan.

 

“Pada 3 September dia menyatakan hasrat untuk meninggalkan kem kebangsaan kerana masalah kesihatan. Dia menghantar surat pada pada 11 September.

 

“Pada 23 Disember, Jin Wei bersama Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Pulau Pinang, Leong Kin Weng bertemu dengan Kenny bagi membincangkan peluang untuk kembali bersama skuad kebangsaan selepas tahap kesihatannya semakin pulih.

 

“Kenny memaklumkan kepada Jin Wei yang BAM mahu membantunya kerana dia memiliki bakat dan BAM sudah membuat pelaburan sejak dia berusia 14 tahun.

 

“Pertemuan itu positif dengan Jin Wei mengatakan dia serius kembali bersama skuad kebangsaan tetapi hanya akan beraksi dalam acara beregu campuran disebabkan faktor kesihatan.

 

“Pada 2 Januari, menerusi saluran Youtube miliknya, dia mengumumkan untuk menjadi pemain bebas,” katanya. - DagangNews.com