TAIPING 10 Dis - Zoo Taiping dan Safari Malam (Zoo Taiping) bakal mempamerkan tarikan baharu iaitu dubuk bertompok (Spotted Hyena) sempena cuti sekolah ini khususnya bagi menarik pengunjung cilik.
Haiwan ini yang nama saintifiknya crocuta crocuta hidup secara berkumpulan dan merupakan spesies dubuk terbesar dalam keluarganya.
Ketika ini Zoo Taiping mempunyai sebanyak empat ekor dubuk masing-masing dua ekor jantan dan betina.
Khabar gembira lain pula ialah sejak Jun hingga November lalu, zoo tersebut telah menerima beberapa kelahiran haiwan baharu yang dapat menjadi tarikan kepada pengunjung.
Antaranya lima burung botak upeh, masing-masing dua ekor pelanduk dan rusa bawean serta seekor kucing batu, landak raya, cimpanzi dan rusa ubi.
Sepanjang tahun ini iaitu sehingga November lalu seramai 796,190 pelawat telah berkunjung ke Zoo Taiping.
Daripada jumlah itu seramai 89,816 pelawat pada sesi petang iaitu bagi Safari Malam.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, khidmat bas elektrik (EV) bakal dijadualkan beroperasi untuk pelancong selewat-lewatnya pada awal tahun hadapan.
Katanya, bas yang mempunyai kapasiti 22 tempat duduk dan satu tempat duduk orang kurang upaya upaya (OKU) menggunakan tenaga elektrik dalam memastikan kelestarian alam dan bandar bersih.
"Bas EV menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya sumbangan daripada kerajaan Jepun melalui Japan International Cooperation Agency (JICA) kepada MPT.
"Ia akan diguna sebagai bas pelancong khusus untuk lingkaran laluan membabitkan laluan di 33 Jejak Warisan sejauh 11.5 kilometer," ujarnya.
Pihak MPT pada 2015 pernah melaksanakan percubaan perkhidmatan bas EV yang dirancang untuk diperkenalkan setahun kemudian sebelum tertangguh.
Bandar Taiping semasa itu telah disenarai pendek oleh JICA sebagai calon untuk perlaksanaan kenderaan elektrik tersebut. - DagangNews.com