Zurich Malaysia sumbang RM50k tambah baik Pusat Sumber Aktuari UiTM | DagangNews Skip to main content

Zurich Malaysia sumbang RM50k tambah baik Pusat Sumber Aktuari UiTM

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 11 Sept. - Zurich Malaysia hari ini menyumbangkan RM50,000 kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk melengkapkan kemudahan di Pusat Sumber Aktuari (ARC) universiti berkenaan. 

Sumbangan tersebut adalah lebihan dari Akaun Pelaburan Risiko Am Zurich General Takaful yang disalurkan sebagai amal jariah bagi pihak pelanggan Zurich General Takaful.

Zurich Malaysia berkata, sumbangan itu akan digunakan untuk menghasilkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan menaik taraf sumber yang sedia ada untuk pelajar dan pensyarah aktuari UiTM.

“Pada masa yang sama, usaha ini dapat membantu UiTM untuk lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa. Zurich Malaysia berharap sumbangan ini dapat membantu menghasilkan aktuari-aktuari profesional yang berbakat di Malaysia. 

“Bidang aktuari adalah penting untuk membentuk sistem kewangan yang progresif dan inklusif,” kata Zurich Malaysia dalam satu kenyataan hari ini. 

UiTM merupakan satu daripada empat institusi awam yang menawarkan sains aktuari. 

UiTM juga adalah universiti awam pertama yang menerima jumlah pengecualian tertinggi untuk peperiksaan profesional Institute and Faculty of Actuaris (IFoA).

 

Zurich
DARI kiri, Haryani Haron, Mohd. Nazip Suratman, Rahmat Mohamad, Nazrul Hisham Abdul Hamid, Nordin Mohd. Zain dan Nazrul Azli Munani pada majlis penyampaian cek sumbangan.

 

Semasa berucap di majlis penyampaian sumbangan berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Takaful Malaysia Berhad, Nazrul Hisham Abdul Hamid berkata, sebagai salah satu daripada dua pemain industri yang memegang keempat-empat lesen insurans dan takaful, Zurich Malaysia berada di posisi unik untuk menawarkan pendekatan yang holistik bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia dalam mendapatkan perlindungan.

“Matlamat kami adalah untuk membolehkan mereka menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik dan mencapai potensi mereka sepenuhnya. 

“Dengan ini, bidang sains aktuari mendukung misi kami untuk mempertingkatkan kehidupan rakyat Malaysia dengan melindungi mereka, orang tersayang, dan harta benda. 

“Kami amat berbesar hati dengan peluang yang diberikan untuk membantu visi UiTM dalam menghasilkan tenaga kerja yang kompetitif di peringkat antarabangsa,” katanya.

Turut hadir pada majlis penyampaian cek adalah Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni), Prof. Datuk Dr Rahmat Mohamad; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Mohd Nazip Suratman; Dekan Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Dr. Haryani Haron; Ahli Lembaga Pengarah Zurich General Takaful, Dr. Nordin Mohd Zain serta Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Takaful Association, Azli Munani. - DagangNews.com