KUALA LUMPUR 21 Mac - Kumpulan Brahim’s Dewina menyumbang sebanyak 241 karton kurma ajwa dan 800 karton air mineral kepada 80 buah masjid di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), sempena Ramadan.
Brahim's dalam hantaran di Facebook memaklumkan, sumbangan kurma dan air mineral dilaksanakan oleh pihak kumpulan hampir setiap tahun.
Katanya, tahun ini merupakan tahun ketiga pihaknya bekerjasama dengan Jawi dalam menjayakan program sumbangan tersebut.
"Pada tahun ini, sekali lagi kami akan memberikan sumbangan kurma ajwa dan air mineral kepada lebih kurang 80 buah masjid yang berada di bawah seliaan Jawi.
"Lebih kurang 241 karton kurma ajwa dan 800 karton air mineral telah diperuntukkan untuk program ini," katanya.
Turut hadir dalam majlis penyerahan sumbangan tersebut, Pengarah Urusan Kumpulan Brahim’s Dewina, Nur Fatin Ibrahim dan Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail. - DagangNews.com