Ketua Pegawai Eksekutif Desatera Sdn Bhd, Datuk Paduka Feizal Nur Nurbi (2 dari kiri), bersama Timbalan Ketua Protokol, Jabatan Protokol, Kementerian Luar Negeri Radzi Jamaludin dan Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Penyelarasan Operasi NADMA, Sapian Mamat pada majlis penyerahan pada 17 Februari 2023.
KUALA LUMPUR 17 Feb - Dewina Holdings Sdn Bhd, pengeluar makanan berjenama Brahim's menyumbang akan sebanyak 30,000 pek makanan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria yang menyebabkan lebih 40,000 terkorban setakat ini.
Dewina Holdings dalam satu kenyataan memaklumkan, untuk penghantaran pertama, sebanyak 8,000 paket makanan diserahkan kepada Kementerian Luar untuk dihantar ke Damsyik mulai esok dengan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), manakala bakinya akan diserahkan kemudian.
Katanya, sumbangan makanan terdiri daripada 20,000 paket nasi briyani ayam dan 10,000 nasi briyani kambing.
"Gempa bumi telah menyebabkan kemusnahan yang besar dan Kerajaan Malaysia telah menubuhkan tabung bencana khas untuk membantu mangsa.
"Sebagai warga korporat yang baik, kumpulan syarikat Dewina Brahim telah menyertai tabung khas bencana melalui sumbangan makanan," katanya. - DagangNews.com