CGS-CIMB semak turun unjuran harga purata minyak sawit mentah kepada RM5,122 berbanding RM5,600 untuk FY22 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB semak turun unjuran harga purata minyak sawit mentah kepada RM5,122 berbanding RM5,600 untuk FY22

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Nov - CGS-CIMB Research menyemak turun unjuran harga purata minyak sawit mentah untuk FY22 kepada RM5,122 berbanding RM5,600 bagi setiap tan tetapi mengekalkan unjuran purata harga sebanyak RM3,800 bagi setiap tan pada FY23.

 

Firma itu menjangkakan, bekalan minyak sawit akan meningkat sebanyak 2.6% dan akan memuncak sebanyak 2.46 juta tan pada penghujung November 2022.

 

"Pemotongan itu adalah bagi mencerminkan kejatuhan harga minyak sawit mentah yang lebih pantas berbanding jangkaan pada 3QFY22 terutama selepas Indonesia secara agresif meningkatkan eksport bagi mengurangkan stok minyak sawit dan kebimbangan terhadap pertumbuhan global yang lebih perlahan.

 

"Semakan harga kami adalah berdasarkan unjuran harga minyak sawit mentah berada pada paras RM4,000 satu tan pada November-Disember 2022," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Terdahulu, bekalan minyak sawit mentah Malaysia meningkat sebanyak 4% dari bulan ke bulan dan 31% dari tahun ke tahun kepada 2.4 juta tan pada Oktober 2022 dan ia merupakan paras tertinggi sejak September 2019.

 

Pertambahan itu adalah disebabkan kadar pengeluaran yang meningkat.

 

Firma itu juga menjangkakan harga saham kekal dalam julat kesan daripada ketiadaan pemangkin baharu dalam perniagaan itu.

 

Bagaimanapun, risiko untuk penanam boleh dikurangkan oleh hasil dividen sektor sebanyak 5.5% dan penilaian P/E rendah sebanyak 8.6x untuk FY22.

 

"Keadaan akan menjadi bertambah sukar kesan daripada peningkatan kos operasi akibat kenaikan gaji minimum di Malaysia kepada RM1,500 bermula 1 Mei 2022.

 

"Pada masa sama, mereka juga berdepan kenaikan harga baja dan Cukai Makmur dilihat akan memberi kesan kepada pendapatan 3QFY22," katanya. - DagangNews.com