KUALA LUMPUR 20 Dis - CGS-CIMB Research positif Gamuda Berhad akan fokus kepada segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) sebagai medium perkembangan perniagaan baharu (sasaran perbelanjaan modal RM2 bilion).
Firma itu berkata, pengambilalihan 30% pegangan dalam ERS Energy adalah langkah strategik untuk meneruskan projek hidro dan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) solar baharu dengan potensi pendapatan berulang.
Katanya, kadar pulangan dalaman (IRR) ekuiti disasarkan adalah pada kadar sederhana dan tinggi (domestik dan antarabangsa).
"Sementara menunggu pemerolehan ERS selesai pada 1HCY23, kami mengekalkan sasaran pendapatan sesaham (EPS) FY23-FY25," katanya dalam satu nota kajian.
Sehingga Disember 2022, kumpulan itu memiliki tunai bersih sebanyak RM700 juta.
Firma itu berkata, kumpulan itu mempunyai beberapa rancangan perkembangan untuk bahagian pembinaan termasuk projek MRT3 bernilai sehingga RM15 bilion, skop tebus guna tanah di Pulau Pinang bernilai RM5 bilion yang meunggu kelulusan penuh pada 23 Januari 2023 dan potensi pembangunan baharu di Australia.
Katanya, kumpulan itu menyasarkan kontrak antara RM20 bilion hingga 25 bilion dalam tempoh 12-18 bulan akan datang selain menyasarkan kemenangan kontrak baharu antara RM5.2 bilion hingga RM10.2 bilion.
"Bagi pembangunan hartanah, kumpulan itu menyasarkan penambahan lima projek QTP tambahan bernilai sekurang-kurangnya RM1 bilion dalam nilai pembangunan kasar (GDV) daripada enam projek semasa (RM2.9 bilion) dalam tempoh dua tahun akan datang," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM4.69 sesaham. - DagangNews.com