Hartasuma raih projek Kereta Kabel Pulau Pinang dengan pelaburan RM250 juta menerusi inisiatif perkongsian awam swasta | DagangNews Skip to main content

Hartasuma raih projek Kereta Kabel Pulau Pinang dengan pelaburan RM250 juta menerusi inisiatif perkongsian awam swasta

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Dis - Syarikat perkhidmatan rel bersepadu terkemuka Hartasuma Sdn. Bhd. meraih projek reka bentuk, pembinaan, kewangan, operasi dan pemindahan (DBFOT) untuk projek Kereta Kabel Pulau Pinang di Bukit Bendera dengan pelaburan RM250 juta melalui inisiatif perkongsian awam swasta (PPP) bersama kerajaan Pulau Pinang.

 

Gesaan untuk mendapatkan cadangan terbaik bagi perkhidmatan kereta kabel Bukit Bendera bermula pada 13 Jan 2021 dan dilanjutkan hingga 30 November 2022 berikutan COVID-19.

 

Hartasuma akan memiliki konsesi untuk tarikan pelancong ini dalam tempoh 30 tahun akan datang dengan mereka bertanggungjawab ke atas BDFOT sepanjang tempoh tersebut dan projek itu dijangka mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan serta beroperasi.

 

Hartasuma bekerjasama dengan Kumpulan Dopplemayr yang berpangkalan di Austria bagi projek itu dan mereka merupakan peneraju pasaran global dalam pembuatan ropeways dan people mover selain telah membina lebih daripada 15,100 pemasangan untuk pelanggan di 96 negara.

 

Pengarah Eksekutif Hartasuma, Tan Sri Ravindran Menon berkata,  pihaknya berbangga selepas dianugerahkan projek itu oleh kerajaa Pulau Pinang.

 

Beliau berkata, pihaknya berkongsi aspirasi sama dengan kerajaan Pulau Pinang dan berharap dapat menyiapkan projek itu dalam jangka masa ditetapkan.

 

kabel

 

Bagi projek kereta kabel Pulau Pinang, sistem kereta kabel itu akan dilengkapi kapasiti 1,000 penumpang sejam pada kelajuan 6 meter sesaat, menggunakan 43 kabin gondola. Terdapat sejumlah 15 menara di sepanjang laluan, dan masa perjalanan dari stesen bawah ke atas akan mengambil masa 10 minit.

 

“Kami komited bahawa semasa peringkat pembinaan, semua langkah mitigasi yang dinyatakan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar akan dilaksanakan untuk memastikan gangguan minimum terhadap alam sekitar dan operasi bangunan dan sistem kereta kabel akan menggabungkan amalan terbaik dalam pengurusan alam sekitar dan kelestarian," kata Ravindran.

 

Doppelmayr nama yang cukup dikenali dalam landskap pengangkutan Malaysia dengan mereka terlibat dengan projek Kereta Kabel Langkawi serta Kereta Api Funikular Pulau Pinang yang dinaik taraf sebelum ini.

 

Sebagai sebahagian daripada cadangan, Hartasuma juga sedang menubuhkan Pusat Kecemerlangan Kabel dan Rel (CROE) di Pulau Pinang, dan ini akan menghimpunkan kemudahan bertaraf dunia, pekerja mahir, dan pembangunan teknologi dalam teknologi kabel dan rel. - DagangNews.com