Ipoh, Petaling Jaya lokasi tumpuan utama pencari hartanah | DagangNews Skip to main content

Ipoh, Petaling Jaya lokasi tumpuan utama pencari hartanah

KUALA LUMPUR 20 Dis - Ipoh dan Petaling Jaya disenaraikan sebagai kawasan dengan carian tertinggi oleh rakyat Malaysia yang mencari hartanah kediaman di laman web iProperty.com.my antara Januari hingga November 2022.

 

Ipoh muncul kawasan paling popular tahun ini, sekali gus menjadi bandar kedua di luar Lembah Klang yang pernah menduduki tempat tertinggi dalam senarai carian hartanah selepas Johor Bahru pada 2022.

 

Ipoh merekodkan 1,916 transaksi merentas semua jenis hartanah kediaman pada tahun lalu dengan kebanyakannya membeli rumah bertanah dengan harga median RM280,000.

 

Tiga jenis hartanah dengan transaksi tertinggi ialah rumah teres dan berkembar di Taman Cempaka, Taman Ipoh dan Taman Canning.

 

Jatuh ke tempat kedua ialah pemenang tahun lalu, iaitu Petaling Jaya.

 

Status bandar raya yang diberikan secara rasmi pada 2006, Petaling Jaya terkenal dengan akses yang terbaik di kawasan tengah Lembah Klang.

 

Data carian oleh portal hartanah terkemuka itu mencerminkan perubahan dalam corak carian hartanah kediaman, apabila pada tahun ini, lebih ramai pembeli rumah dan pelabur berpotensi kini mempertimbangkan kawasan terpilih di luar Lembah Klang.

 

Lokasi berkenaan cenderung menawarkan rumah bertanah mampu milik dalam persekitaran yang mesra keluarga.

 

Pengurus Negara, PropertyGuru Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), Sheldon Fernandez berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan cabaran ekonomi akibat COVID-19 memberi kesan kepada aktiviti pembelian rumah sejak dua tahun kebelakangan ini apabila pembeli mengamalkan sentimen lebih berhati-hati.

 

Beliau berkata, dengan usaha kerjasama Malaysia menangani pandemik COVID-19 serta landskap politik yang semakin stabil, adalah amat menarik untuk melihat kawasan kediaman yang akan dipertimbangkan oleh pembeli dan pelabur di masa hadapan.

 

"Pada 2022, lebih ramai pelabur dan pembeli mempertimbangkan hartanah kediaman di kawasan yang terletak di luar Lembah Klang. Tahun ini, kami mempunyai tiga lokasi yang tidak pernah menduduki senarai tahunan iProperty.com.my.

 

"Pemerhatian ini menunjukkan bahawa pandemik mendorong ramai pembeli untuk mengambil kira gaya hidup dan tempat mereka bekerja. Trend gaya kerja hibrid dan bekerja dari rumah membolehkan mereka mengutamakan persekitaran hidup yang lebih baik untuk membesarkan anak-anak, duduk berdekatan dengan ahli keluarga, dan mengutamakan kesihatan mental.

 

"2023 adalah tahun yang menarik untuk kita meramal sama ada hartanah kediaman di luar bandar utama atau kawasan kegemaran ramai akan terus mendapat tarikan dalam kalangan pembeli dan pelabur rumah," katanya dalam satu kenyataan.

 

Kawasan lain yang disenaraikan antara 10 lokasi carian popular di Malaysia adalah Cheras, Johor Bahru, Puchong, Kuching, Port Dickson, Mont Kiara, Shah Alam dan Seremban. - DagangNews.com