Malaysia Airlines rai Hari Wanita Sedunia dengan penerbangan KL-Kuching dikendalikan wanita | DagangNews Skip to main content

Malaysia Airlines rai Hari Wanita Sedunia dengan penerbangan KL-Kuching dikendalikan wanita

oleh HUDA HASSAN

KUALA LUMPUR 6 Mac - Bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia (IWD), syarikat Malaysia Airlines akan menawarkan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching yang dikendalikan oleh semua wanita.

 

Inisiatif itu dijalankan bagi meraikan dan mempamerkan pelbagai peranan wanita dalam menyumbang kepada industri penerbangan, sejajar dengan tema IWD iaitu 'Embrace Equity'.

 

Operasi penerbangan itu akan dikendalikan oleh tenaga kerja wanita Malaysia Aviation Group (MAG) membabitkan daftar masuk hingga cukai landasan dan mengisi minyak oleh kru kabin dan kru penerbangannya, iaitu Kapten Noorsazrina Zulkifli dan pegawai kedua Wong Wei Ming.

 

Selain itu, semua penumpang MH2520 akan diberikan barangan istimewa Malaysia Airlines Pilot Polly Plushie untuk memperingati hari istimewa itu.

 

Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan MAG, Philip See berkata, syarikat itu komited untuk memperjuang dan memperkasa golongan wanita untuk memainkan peranan aktif dalam mencapai matlamat kerjaya dan perniagaan mereka dengan memupuk budaya meliputi keterangkuman, kepelbagaian dan kesaksamaan jantina, bangsa, agama dan umur.

 

"Ia sejajar dengan komitmen kami terhadap inisiatif Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) 25by2025 dalam memajukan peranan wanita dalam penerbangan, serta Pelan Tindakan Kelestarian MAG, yang mengiktiraf kesaksamaan gender sebagai penyumbang utama dalam menggalakkan pembangunan sosio-ekonomi," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Penerbangan itu juga merupakan sebahagian daripada inisiatif kemampanan MAG yang lebih luas merangkumi faktor alam sekitar, sosial, keselamatan, tadbir urus dan ekonomi.

 

Langkah itu juga sebagai pengukur ke arah menggalakkan pembangunan sosio-ekonomi dan mencapai pelepasan karbon bersih-sifar menjelang 2050.

 

Sebagai lanjutan kepada sambutan IWD, MAG juga akan menganjurkan acara untuk memperingati ulang tahun pertama Women@MAG.

 

Women@MAG ialah kumpulan kerja yang ditubuhkan untuk memacu lebih ramai penyertaan wanita dalam syarikat dengan mempromosikan dan memupuk kepelbagaian ekuiti serta keterangkuman di tempat kerja. - DagangNews.com