KUALA LUMPUR 13 Dis - MIDF Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor hartanah selepas melihat prospek permohonan pinjaman yang lemah kesan daripada kenaikan kadar dasar semalaman (OPR).
Firma itu berkata, penurunan jumlah hartanah tidak terjual memberi kesan positif kepada sektor itu kerana ia akan membantu mengurangkan kebimbangan ramai terhadap lebihan bekalan dalam pasaran berbanding permintaan.
"Kami mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor ini.
"Pilihan utama kami dalam sektor ini adalah syarikat yang memiliki pendedahan terhadap rumah mampu milik dengan projek hartanah bagi pasaranan pertengahan serta mampu milik terus mendapat permintaan tinggi daripada pembeli.
"Dalam konteks ini kami memilih Mah Sing Group (beli:TP 74 sen) dan Glomac Berhad (beli: TP 48 sen) didorong strategi penjualan hartanah mampu milik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, jumlah pinjaman yang diluluskan untuk pembelian hartanah menurun kepada RM20.5 bilion pada Oktober 2022 selepas penurunan 11% pada September 2022.
Katanya, pinjaman yang diluluskan adalah mendatar walaupun terdapat penurunan yang ketara dalam permohonan pinjaman kerana peratusan jumlah pinjaman yang diluluskan berbanding jumlah permohonan pinjaman lebih tinggi pada 46.8% pada Oktober 2022 (September 2022:43.8%).
"Pada asas tahunan, pinjaman yang diluluskan adalah lebih tinggi sebanyak 11% dari tahun ke tahun terutamanya disebabkan peratusan jumlah pinjaman yang diluluskan secara mendadak lebih rendah berbanding jumlah permohonan pinjaman sebanyak 37.8% pada Oktober 2021," katanya.
Firma itu berkata, menurut data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), jumlah rumah tidak terjual menurun secara signifikan daripada 34,092 pada 2QFY22 berbanding 29,534 unit 3QFY22.
Penurunan ketara itu didahului oleh Selangor (14.9%), Johor (11%) dan Pulau Pinang (5%).
"Penurunan unit tidak terjual itu boleh dikaitkan dengan pembukaan semula ekonomi.
"Selain itu, pembeli asing seperti dari Singapura kembali ke pasaran hartanah tempatan kami berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa pada April 2022," katanya. - DagangNews.com