KUALA LUMPUR 15 Dis - MIDF Research menjangkakan Teleport akan mengukuhkan lagi rangkaian kargonya pada masa hadapan disokong pertambahan kapasiti penumpang dengan tambahan tiga kapal kargo baharu.
Firma itu menjangkakan, Capital A akan terus mencatatkan kerugian pada tahun hadapan namun ia lebih kecil kerana pelancong China akan kembali menjelang akhir 1HFY22 dan bahan api jet menjadi semakin rendah.
Bagaimanapun, mereka kekal berhati-hati dengan kos peyelenggaraan yang tinggi bagi kumpulan untuk membawa balik tambahan 65 pesawat menjelang 2QFY23 selain kekangan kapasiti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di rantau ini.
"Tiada sebarang perubahan unjuran pendapatan dibuat untuk kumpulan itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, Teleport berjaya mengumpul modal baharu untuk pertumbuhan serantaunya sebanyak AS$50 juta (RM220 juta) daripada pelabur kredit institusi yang besar.
BACA JUGA: Teleport raih RM220 juta daripada pelabur institusi bagi pengembangan operasinya
Kumpulan itu akan menggunakan dana itu untuk mendapatkan kapal kargo tambahan, membina hab kritikal di Indonesia, Filipina dan Malaysia, dan seterusnya melabur dalam teknologi yang membolehkan sesiapa sahaja untuk ‘Teleport It’ dalam masa 24 jam di seluruh Asia Tenggara.
Firma itu berkata, kumpulan bercadang untuk menggunakan dana itu untuk menambah tiga kapal kargo Airbus A321 tambahan yang boleh membawa sehingga 27 tan kargo setiap penerbangan.
Katanya, ia akan dihantar secara berperingkat bermula pada 1QFY23.
"Penambahan ini akan menjadikan kapal kargo kepada empat pengangkut secara keseluruhan, selain mempunyai lebih 200 pesawat penumpang AirAsia yang boleh digunakan," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah 59 sen sesaham. - DagangNews.com