KUALA LUMPUR 7 Nov - Walaupun berdepan prospek permintaan yang lembap bagi industri mudah alih dan semikonduktor, Pentamaster Corp Berhad melihat permintaan yang kukuh dalam segmen peranti perubatan serta automotif sekali gus memberi keyakinan terhadap pertumbuhan FY23.
CGS-CIMB Research berkata, perkembangan itu juga didorong oleh sistem pembakaran wafer silikon karbida, kejayaan meraih peanggan baharu dalam segmen automotif serta pembesaran kapasiti pengeluaran bagi kilang ketiga di Batu Kawan.
Katanya, kumpulan itu menjangkakan segmen peranti perubatan dan automotif akan menyumbang campuran jualan masing-masing 70% dan 60% untuk FY22 dan FY23.
Pada masa sama katanya, mereka melihat jualan bagi segmen elektro-optical, semikonduktor dan pengguna bagi 4QFY22 akan menjadi lebih perlahan.
"Kumpulan itu juga menjangkakan fasa pertama kilang ketiganya dengan keluasan binaan 300,000 kaki persegi akan mula beroperasi pada 2HFY23 manakala fasa kedua dengan saiz yang sama akan siap pada 1HFY24.
"Kilang ketiga akan dikhaskan untuk bahagian penyelesaian automatik kilang (FAS) dan secara keseluruhan kilang itu adalah penting untuk kumpulan mencapai sasaran hasil RM 1 bilion menjelang 2025," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, untung bersih kumpulan itu bagi 3QFY22 melonjak 5.6% kepada RM20.07 juta dibantu oleh jualan peralatan ujian automatik (ATE) dan segmen FAS.
Firma itu berkata, ketiadaan sekatan perjalanan, sumbangan yang lebih kukuh daripada segmen automotif dan perubatan, kelulusan Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Amerika Syarikat (AS) untuk bahan guna perubatan baharu secara memberi kesan positif kepada mereka.
Katanya, kelewatan dalam kelulusan FDA untuk bahan habis guna perubatan baharu, kelembapan yang berpanjangan dalam permintaan peranti mudah alih dan penangguhan pemenuhan pesanan yang lebih perlahan dalam industri semikonduktor menjadi antara cabaran mereka.
"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM3.75," katanya. - DagangNews.com