Pelaksanaan rangkaian 5G DNB melangkaui 40% menjelang hujung 2022 | DagangNews Skip to main content

Pelaksanaan rangkaian 5G DNB melangkaui 40% menjelang hujung 2022

KUALA LUMPUR 12 Dis - Pelaksanaan rangkaian 5G oleh Digital Nasional Bhd (DNB) adalah lebih awal daripada jadual dan dijangka melebihi 40% liputan kawasan berpenduduk (COPA) di seluruh negara menjelang Disember 2022. 

 

Syarikat itu merancang untuk COPA mencapai 37.9% untuk tahun ini tetapi unjuran semasa mencerminkan ia akan mencecah 41.8% pada akhir Disember. 

 

Ketua Pegawai Operasi DNB, Nasution Mohamed dalam satu kenyataan berkata firma itu yakin mampu mencapai komitmen 80% COPA dalam tempoh 18 bulan akan datang berdasarkan permintaan untuk perkhidmatan 5G serta sokongan yang diterima bagi kelulusan yang diperlukan daripada pelbagai pihak berkuasa negeri termasuk majlis tempatan dalam usaha mempercepatkan penggunaan rangkaian.

 

DNB berkata, rangkaian itu akan mencapai 14 juta orang yang terletak di kawasan-kawasan di bawah liputan dan melebihi 30 juta dalam tempoh dua tahun akan datang. 

 

"COPA 40% akan dicapai melalui kira-kira 3,500 tapak berbanding 4,018 tapak yang dirancang pada awalnya," katanya, lapor Bernama hari ini.

 

Pengurangan jumlah tapak ini adalah hasil daripada isu rantaian bekalan yang dihadapi pada awal tahun ini termasuk kelewatan dalam mendapatkan kelulusan majlis tempatan yang diperlukan terutamanya di Selangor serta Sarawak. 

 

DNB berkata, isu-isu ini sebahagian besarnya telah diselesaikan dan rangkaian itu akan digunakan secara progresif pada 2023 seperti yang dirancang.


"Bagi mengatasi kelewatan yang dialami dan untuk mencapai COPA 40%, DNB telah menggubah semula usaha pelaksanaan rangkaiannya ke negeri-negeri yang dirancang dimulakan pada 2023 dan ke atas," katanya.

 

Rangkaian kini merangkumi hampir seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, sebahagian besar Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan serta beberapa bahagian di Melaka, Perak, Kelantan, Sabah, dan Sarawak.

 

Setakat ini, lima daripada enam pengendali rangkaian mudah alih di Malaysia, yang secara kolektif mempunyai lebih 20 juta pelanggan iaitu Celcom Axiata Berhad, Digi Telecommunications Sdn. Bhd., Telekom Malaysia Berhad, U Mobile Sdn. Bhd. dan YTL Communications Sdn. Bhd. (YES)  telah mula menyediakan perkhidmatan 5G runcit kepada pengguna akhir mereka, susulan pemeteraian perjanjian akses 5G masing-masing dengan DNB pada 31 Oktober 2022. - DagangNews.com