Ringgit dijangka cecah paras RM4 pada hujung 2023 berbanding dolar AS | DagangNews Skip to main content

Ringgit dijangka cecah paras RM4 pada hujung 2023 berbanding dolar AS

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Jan - Ringgit dijangka mencecah paras terendah RM4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang hujung 2023.

 

Ketua Penyelidikan dan Startegi Pertukaran Asing Kumpulan Maybank Investment Bank Berhad, Saktiandi Supaat berkata, berdasarkan nilai semasa, ringgit berada pada paras RM4.40 dan ia adalah cerminan terhadap kekuatan dolar di pasaran global.

 

Bagaimanapun katanya, nilai itu semakin menghampiri paras RM4.30 dan dijangka menjadi lebih baik pada pertengahan tahun kerana ringgit pada ketika ini didagangkan di bawah nilai atara 6% hingga 8%.

 

"Berdasarkan kepada nilai dagangan semasa, ringgit dinilai lebih rendah namun ia dijangka naik antara 3% hingga 5%.

 

"Menjelang pertengahan 2023, ringgit akan berada pada paras RM4.25 dan mencecah RM4.00 pada hujung tahun," katanya pada sesi penerangan Prospek Ekonomi 2023 secara dalam talian, hari ini.

 

maybank
Saktiandi Supaat

 

Nilai ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada pagi urus niaga 5 Januari 2023 apabila dolar AS mengukuh selepas Rizab Persekutuan (Fed) AS mengesahkan ia akan terus memberi tumpuan kepada kenaikan kadar tahun ini.

 

Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada RM4.40 berbanding dolar AS daripada penutupan hari Rabu iaitu RM4.39.
   

Saktiandi berkata, nilai ringgit bukan hanya melibatkan nilai pasaran domestik tetapi juga bergantung kepada pasaran eksport semasa.

 

Katanya, dalam usaha menaikkan nilai ringgit, Malaysia perlu melihat apa yang sedang berlaku di pasaran global dan memanfaatkannya dengan dagangan yang dimiliki.

 

"Nilai ringgit bergantung kepada apa yang Malaysia eksport dan jumlah eksport pada 2023," katanya. - DagangNews.com