KUALA LUMPUR 9 Dis - Vestland Berhad menandatangani perjanjian dengan AmInvestment Bank Berhad untuk menaja jamin sejumlah 74.96 juta saham biasa sempena tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Penawaran 240.8 juta saham biasa memerlukan terbitan awam sebanyak 170 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan 70.8 juta saham sedia ada.
Pengarah Urusan Kumpulan Vestland, Datuk Liew Foo Heen berkata, kumpulan itu merancang untuk menggunakan hasil IPO itu untuk menambah keperluan modal kerja sejajar dengan pertumbuhan dalam operasi perniagaannya.
Beliau berkata, perjanjian taja jamin itu juga merupakan satu peristiwa penting ke arah penyenaraian Vestland di Pasaran ACE, dengan menyasarkan untuk mengukuhkan lagi kedudukannya dalam industri pembinaan dengan memanfaatkan keupayaan reka bentuk dan binaan kumpulan itu.
“Kami berhasrat untuk menyediakan penyelesaian menyeluruh, dengan satu titik hubungan kepada pelanggan kami, untuk memberikan kualiti dan pelaksanaan yang lebih baik untuk pelanggan kami.
“Visi kami adalah untuk terus membina prospek kami serta mengukuhkan kedudukan kami dalam pasaran, dan memberikan nilai jangka panjang kepada semua pemegang kepentingan kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AmInvestment Bank, Tracy Chen Wee Keng berkata, industri pembinaan memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada projek berintensif modal dan memacu perjalanan pembinaan negara.
Perkara itu bukan sahaja menyemarakkan pertumbuhan ekonomi negara, tetapi juga merangsang lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.
“IPO oleh kontraktor reka bentuk dan binaan terkemuka seperti Vestland menyuarakan aspirasi pemulihan ekonomi dan pembangunan negara.
“Kami yakin IPO ini akan meningkatkan kedudukan kewangan Vestland ketika ia memulakan fasa pertumbuhan seterusnya,” katanya.
AmInvestment Bank merupakan penasihat utama, penaja, ejen penempatan dan penaja jamin untuk IPO.
Vestland dijangka melancarkan prospektusnya menjelang akhir Disember 2022. - DagangNews.com