Bajet 2022: Pemerkasaan pelancongan, seni dan budaya | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 30 Oct 2021 07:05 AM

Bajet 2022: Pemerkasaan pelancongan, seni dan budaya


 

 

Ada makanan dihidangkan

Ada didikan buat anak watan

Ada perniagaan dipertahan

Ada pekerjaan diciptakan

 

Pastinya

Masih ada lagi sebuah kehidupan...

 

BAJET 2022 begitu berlainan dari tahun-tahun sebelum ini. Kita diwarkahkan dengan satu perutusan yang begitu bersantun lenggok bahasanya serta Menteri Kewangan berbusana Baju Melayu bersastera dalam pembentangannya.

 

 

zafrul

 

 

Barangkali inilah sebab terdapat sedikit sebanyak fokus kepada pemulihan  sektor tumpuan merangkumi antara lain sektor pelancongan dan juga industri kreatif.

 

Kedua-duanya berkait rapat kerana salah satu intipati sektor pelancongan itu tentulah seni dan budaya serta industri kreatif. Sektor ini jugalah yang terkandas teruk oleh apa yang dikatakan Menteri Kewangan sebagai ‘pandemik durjana’.

 

Sebelum COVID-19 melanda, sektor ini menyumbang kepada hampir 16% KDNKK negara iaitu lebih kurang RM240 bilion pada 2019. Pelancongan domestik meningkat melebihi ‘inbound’ buat masa itu. Pada masa yang sama, sektor kebudayaan menyumbang 5% kepada KDNK, satu pencapaian yang boleh diperbaiki.

 

Kini, kita terpaksa berhempas pulas membangunkan semula industri pelancongan dan sektor seni dan budaya. Peruntukan kerajaan agak baik di mana pelancongan diperuntukan RM1.6 bilion.

 

Contohnya syarikat yang menganjurkan program seni dan budaya diperuntukan RM50 juta dan galakan bagi tujuan aktiviti promosi serta galakan pelancongan domestik mendapat peruntukan RM60 juta.

ninot

Namun, adakah ini mencukupi?

 

We have to make it work, because this industry impacts a huge percentage of our working force, more than 20% or 3.6 million out of 15 million in 2019, many of whom lost their livelihood due to the pandemic. Those working in hotels and resorts, restaurants, tourist attractions and many more suffered greatly during the pandemic.

 

Dalam merancakkan semula aktiviti industri kreatif, kerajaan juga memperuntukan sejumlah RM188 juta untuk pelbagai inisiatif seperti Dana Kandungan Digital, projek Kandungan Multimedia Digital dan Insentif Filem.

 

Peruntukan pelancongan ini juga meliputi pemerkasaan modal insan dan perlindungan PERKESO golongan artis. Diharap golongan artis ini termasuk penggiat seni dan budaya serta adiguru dan pengkarya serta artisan seni kraf supaya tidak lagi ketinggalan.

 

Menteri Kewangan ada menyebutkan industri kraf di mana suku kaum Dusun Minokok di Sabah telah menghasilkan beg yang digunakannya untuk membawa bajet 2022. Ada harapan industri kraf kita dapat berkembang.

 

Ingatlah Makyung, pemain wayang kulit dan wau di Kelantan, Mek Mulung di Kedah, pengusaha batik dan keropok losong di Terengganu, penari Randai di Negeri Sembilan, pengukir kayu dan pemain gasing uri di Besut serta  penyewa bot menyelusuri Sungai Pahang di Chenor.

 

Begitu juga mereka yang mengekalkan kehidupan lama di Kampung Sg Melayu, Johor dan penenun songket di Kuching, Sarawak!

ninot

SASTERA DAN KESUSASTERAAN

Adakah ini peruntukan kreatif ini juga merangkumi bidang sastera dan kesusasteraan?

Adalah diharapkan Kerajaan dapat melihat kepentingan budaya sastera dalam memperkasa jati diri dan semangat nasionalisme.

 

Menurut Kamus Dewan, jati diri bermaksud sifat atau ciri yang unik dan istimewa (dari segi adat, bahasa, budaya, agama dan sebagainya) yang menjadi teras dan lambang keperibadian seseorang individu, sesuatu bangsa dan sebagainya.

 

Identiti negara Malaysia berteraskan kekuatan bangsa dan semangat cintakan negara yang tidak berbelah-bagi itulah yang kita cari.

Every great civilisation has great literature and legends. 

Therefore to understand who we are, who we were meant to be and where our future lies – it is crucial for us to look at our great literature.

 

Semoga peruntukan industri kreatif ini akan memberi kepentingan terhadap sastera dan kesusasteraan dalam bentuk geran seperti tahun-tahun sebelum ini di bawah penyeliaan MyCreative Ventures.

 

Karya sastera, seperti juga karya seni dan budaya lain, adalah sangat penting untuk ketenangan dan kedamaian jiwa, keharmonian dan ‘healing the nation’ sejajar matlamat dan tema Bajet 2022, Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera.

 

Malaysia juga sering diberi pengiktirafan contohnya sebagai Kota Buku 2020, dan pelbagai Pesta Buku Antarabangsa di negara.

 

Baru-baru ini, di sesi maya Rancangan HOF New York-Frankfurt-Kuala Lumpur, Malaysia antara negara terpilih untuk mendapat slot temuramah khas bersama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dengan tema Stories of the Malay Archipelago.

 

Kita juga antara negara di dunia mempunyai karya diiktiraf UNESCO dalam bentuk manuskrip lama iaitu Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah serta Kitab Bedil.

 

Telah sampai masanya kita memberi keutamaan kepada kesenian dan kebudayaan sebagai khazanah negara yang tidak ternilai.

 

Semoga kepimpinan tertinggi negara mulai menerima hakikat kepentingan Kesenian dan Kebudayaan dalam membentuk identiti negara.

ninot

Diharap kita telah bangun dari mimpi yang melalaikan selama ini, dan sedar  bahawa jatidiri warga negara amat penting untuk menggerakkan negara ke arah kegemilangan yang dicari.

 

Seperti yang telah disarankan sebelum ini, elemen seni dan budaya itu tunggak dan paksi segala usaha  mencapai status negara maju yang menekankan aspek identiti nasional bagi memupuk semangat perpaduan dan patriotisme selaras dengan 17 Sustainable Development Goals atau SDGs yang dikemukakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

 

Semoga kesenian dan kebudayaan terus mendapat tempat dalam membentuk negara tercinta.

 

Putik kemboja baru mengembang,
   Wangi mengharum di tengah laman;
Erat perpaduan bangsa berbilang,
   Kemakmuran bersama satu tujuan.

 

 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

Klik di sini untuk koleksi DARI HIKAYAT KITA