Bentala - Regina Dei Naga (Bentala Naga) dipasarkan di Itali | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 24 Jul 2023 07:00 AM

BENTALA – REGINA DEI NAGA (BENTALA NAGA) DIPASARKAN DI ITALI

BENTALA NAGA buku berilustrasi diilhamkan legenda Makyong menawan hati pembaca di Itali

 

 

BUKU Bentala – Regina Dei Naga (Una Legenda Makyong) yang diterjemah dari Bentala Naga (Kisah Dari Makyong) mula dijual di Rome, Italy minggu ini. 

 

Hikayat Fandom telah memeterai perjanjian memberi hak dagangan Bahasa Itali bagi Siri Hikayat Fandom oleh Ninot Aziz dengan penerbit Itali, Letterarie Menti di Frankfurt pada tahun 2022 melalui hasil usahasama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia.


 

tnb

 


Kini buku  BENTALA – REGINA DEI NAGA dipromosikan di Itali. Buku yang diilhamkan kisah legenda Makyong ini telah diangkat oleh MBKM antara “50 Best Malaysian Books” pada tahun 2022.

 

Hasilnya, buku ini telah diterjemah oleh Maria Grazia Beltrami dari Itali sejak 2022 dan pihak penerbit Letterarie Menti dan RingWorld dari Itali menerbitkan kulit buku baru hasil imaginasi ahli grafik Itali untuk pasaran Itali.

 

Pengarang telah lama berazam membawa lagenda Melayu ke persada dunia kerana hikayat, lagenda dan cerita rakyat Dunia Melayu, mencerminkan keberadaan tamadun Melayu.

 

Melalui lagenda, generasi seterusnya dapat mengenal semula asal usul identiti, tradisi dan kearifan lokal Alam Melayu yang sangat indah. Makyong pula merupakan kebanggaan khazanah warisan negara yang diiktiraf badan dunia UNESCO sebagai “Masterpiece of Oral Literature for Humanity’ pada tahun 2005.


 

Maria Grazia Beltrami
   Maria Grazia Beltrami

 


Maria Grazia Beltrami dari Letterarie Menti berkata, “Kami memilih untuk menterjemahkan 4 buah buku novel grafik Siri Hikayat Fandom kerana ia merupakan sebahagian dari kumpulan legenda dunia Alam Melayu. Kami di Itali yang membesar dengan kisah Sandokan dari Borneo sememangnya meminati kisah dari Alam Melayu.”

 

Bentala – Regina Dei Naga merupakan buku pertama dari 4 tajuk yang bakal diterjemah dan dipasarkan di Itali iaitu Bentala Naga – Kisah Dari Makyong, Legenda Bidasari, Seri Gumum - Puteri Tasik Chini dan Puteri Saadong Negeri Serendah Sekebun Bunga Cerangtagayong.

 

Tambah Maria lagi, “Pada suatu masa dahulu terdapat pelbagai mitos dan legenda, cerita nenek moyang yang menyampaikan keunikan setiap budaya".

 

"Malah, di mana-mana tempat di dunia, seseorang boleh menjumpai cerita yang mengandungi jalan cerita yang sama, seolah-olah ia adalah pengalaman manusia dari azali, tidak pernah dilupakan dan merupakan hakiki buat semua manusia.

 

"Salah satu di antaranya, kisah al-kitab tentang Banjir Besar. Saya bercakap tentang sejarah alkitab kerana kita di Eropah mengenali kisah ini dari Alkitab kami, namun kisah yang sama, telah ujud dalam budaya lain dengan naratif yang jauh lebih tua.


 

tnb

 


“Kemudian muncul pula Disney, yang mengambil kisah dongeng, mitos dan legenda dan mula menghasilkan versi visual, untuk kanak-kanak yang lebih dipermudahkan jalan ceritanya sehingga hilang segala keunikan budaya dan ‘sesuai’ untuk sesiapa saja, menggantikan versi asal.”

 

“Fenomena ini disebut dalam buku Ninot Aziz dalam pengenalan bukunya merujuk kepada cerita dari Malaysia, tetapi ia adalah benar untuk semua kisah kisah dunia.”

 

“Oleh itu, adalah sangat penting untuk memulihara cerita rakyat, mitos dan legenda purba dalam bentuk asalnya, mungkin menggunakan teknik yang dipanggil 'penceritaan semula' untuk merealisasi bahasa, dan membandingkan legenda satu budaya dengan budaya yang lain untuk mengenali naluri yang dikongsikan bersama: kita mungkin bangsa yang berlainan, tetapi mewakili rumpun kemanusiaan sedunia, dengan teras kisah dan cerita  yang sama membuktikannya.”

 

Sambung Maria lagi, “Dalam legenda Melayu yang indah ini, mungkin kita dapat mengenali dua arketaip cerita legenda Eropah: Banjir Besar dan Putri Duyung.”


 

tnb


 

Kini, Hikayat Fandom dan Letterarie Menti sedang merancang majlis pelancaran buku di Rom, Itali pada hujung tahun ini untuk memperkenalkan kisah Bentala Regina Dei Naga serta persembahan Makyong pada dunia peminat budaya dan pembaca dari Itali. - DagangNews.com

 
 
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb