Hanya 5.1% wanita pegang jawatan pengerusi syarikat tersenarai - kajian HLIB | DagangNews Skip to main content

Hanya 5.1% wanita pegang jawatan pengerusi syarikat tersenarai - kajian HLIB

Kajian HLIB mendapati 39.8% daripada syarikat tersenarai awam telah mencapai sasaran 30% penyertaan wanita dalam peringkat pengurusan tertinggi. - Gambar hiasan
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Analisis kepelbagaian jantina yang dijalankan Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mendapati 39.8% daripada syarikat tersenarai awam (PLC) telah mencapai sasaran 30% penyertaan wanita dalam peringkat pengurusan tertinggi. 

 

Sektor yang mencapai lebih daripada sasaran itu ialah perbankan, pengguna, sarung tangan getah, media, hartanah, telekomunikasi dan utiliti. 

 

"Kami juga dapati PLC yang memiliki penyertaan wanita dalam lembaga pengarah paling tinggi ialah KLCC REIT sebanyak 55.6% diikuti Digi.com Bhd. (50%) dan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) (45.5%). 

 

"Sementara itu, Dialog Group Bhd. dan Panasonic Manufacturing (M) Bhd. masing-masing adalah 44.4% diikuti Gamuda Bhd., Sunway REIT, Focus Point Holdings Bhd., Mr D.I.Y Group (M) Bhd., Nestle (M) Bhd. dan Mah Sing Group Bhd. - kesemuanya adalah 42.9%," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu menjalankan kaji selidik terhadap 118 saham syarikat di bawah liputannya berdasarkan laporan tahunan terkini sehingga 29 Julai 2022.

 

Di bawah liputannya, terdapat 1,027 pengarah (pengarah ganti dikecualikan), di mana 261 adalah wanita, mewakili kadar penyertaan sebanyak 25.4%.

 

Berbanding dengan data yang didedahkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, kadar perwakilan lembaga pengarah wanita di bawah liputannya adalah serupa dengan 100 PLC teratas (25.5%) tetapi lebih tinggi berbanding keseluruhan PLC (17.7%).

 

Sumber : HLIB

 

Pemerkasaan wanita merupakan salah satu inisiatif utama yang dibentangkan di bawah Bajet 2022, justeru, SC mewajibkan untuk mempunyai sekurang-kurangnya seorang ahli lembaga wanita untuk semua PLC.

 

Inisiatif tersebut akan berkuat kuasa mulai 1 September 2022 untuk syarikat bermodal besar (modal pasaran melebihi RM2 bilion) dan mulai 1 Jun 2023 untuk PLC yang lain.

 

Menurut firma itu, penyertaan wanita dalam lembaga pengarah menunjukkan peningkatan yang baik sepanjang dekad yang lalu, meningkat daripada 7.7% kepada 17.7% pada 2021.

 

Namun begitu, katanya, kadar itu semakin berkurangan sejak 3 tahun lalu, mendatar pada 16.6 hingga 17.7% antara 2019 dan 2021. 

 

"Walaupun perwakilan wanita dalam lembaga pengarah 100 PLC teratas lebih tinggi berbanding PLC keseluruhan di Bursa Malaysia, namun kadar peningkatannya juga mendatar sejak beberapa tahun kebelakangan ini (2019-2021: 25.0-25.5%).

 

"Selain itu, hanya 162 PLC (18%) telah mencapai sasaran 30% untuk perwakilan lembaga wanita dan masih terdapat 252 PLC (27%) yang mempunyai lembaga pengarah semua lelaki," jelasnya.

 

Sehubungan itu, analisis yang dijalankan HLIB itu mendapati, 95.8% daripada syarikat di bawah liputannya telah mempunyai sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita, yang menunjukkan kesediaan syarikat terbabit bagi melaksanakan inisiatit tersebut berkuat kuasa 1 September 2022.

 

Firma itu mendapati hanya 5 sahaja syarikat di bawah liputannya yang tidak mempunyai pengarah wanita iaitu HIL Industries Bhd, Hiap Teck Venture Bhd, Sapura, Wah Seong Corp. Bhd. dan Lii Hen Industries Bhd. 

 

"Bagaimanapun, kesemua syarikat ini mempunyai permodalan pasaran kurang daripada RM2 bilion, dan penguatkuasaan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita akan dilaksanakan pada 1 Jun 2023 dan seterusnya. Ini memberi tempoh masa mencukupi bagi mencapai pematuhan tersebut," katanya.

 

Sumber : HLIB

 

 

Perkembangan yang kurang memberangsangkan hasil daripada analisis itu didapati jawatan pengerusi, ketua pegawai eksekutif (CEO)/pengarah urusan (MD) masih lagi didominasi golongan lelaki. 

 

Hanya 5.1% PLC di bawah liputan HLIB mempunyai wanita yang memegang jawatan sebagi pengerusi iaitu Mah Sing, Press Metal Aluminimum Holdings Bhd., Time Dotcom Bhd., TRC Synergy Bhd., Kobay Technology Bhd. dan Inari Amerton Bhd.  

 

"Bagi jawatan CEO/MD pula, hanya 3 sahaja wanita (2.5% daripada syarikat di bawah liputannya) berada dalam kedudukan eksekutif iaitu Sentral REIT, Axis REIT dan Sports Toto Bhd.," katanya. 

 

HLIB menamakan saham KLCC REIT, MAHB, Dialog, Mr D.I.Y, Focus Point dan Sunway REIT sebagai pilihan utamanya kerana mempunyai kedudukan kepelbagaian jantina yang baik dalam lembaga pengarahnya.

 

Firma itu memberi penarafan 'beli' terhadap saham-saham tersebut (kecuali KLCC REIT dengan penarafan 'pegang' dengan harga sasaran masing-masing pada RM6.81, RM8.18, RM3.32, RM2.92, RM1.34 dan RM1.67 sesaham. - DagangNews.com