Harga minyak sawit mentah diunjur RM3,800 satu tan pada akhir tahun - PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit mentah diunjur RM3,800 satu tan pada akhir tahun - PublicInvest

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Ogos - PublicInvest Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor perladangan dan menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) turun kepada RM3,800 bagi satu tan menjelang akhir tahun.

 

Firma itu berkata, inventori minyak sawit berada pada paras tertinggi dalam tempoh lapan bulan.

 

Katanya, simpanan stok minyak sawit meningkat sebanyak 8% dari bulan ke bulan kepada 1.77 juta tan, selaras dengan jangkaan pasaran didorong oleh peningkatan import serta penghasilan yang tinggi.

 

"Kadar eskport mencatatkan peningkatan permintaan yang lebih tinggi di India (+51.3%), Amerika Syarikat (+12.3%) tetapi eksport ke China mencatatkan penurunan (-42.7%), Kesatuan Eropah (- 41.5%) dan Pakistan (-37.4%). 

 

"Selain itu, eksport eksport ke Iran, Filipina dan Kenya menyaksikan pertambahan ketara sebanyak 126,000 tan, 33,000 tan dan 28,000 tan masing-masing," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Firma itu berkata, Indonesia baru-baru ini melakukan pemotongan drastik dari segi cukai eksport MSM daripada AS$288 (RM1,280) satu tan pada Julai 2022 kepada AS$52 (RM231) satu tan bermula 9 hingga 15 Ogos 2022.

 

Katanya, digabungkan dengan levi eksport maksimum sebanyak AS$200 (RM889) satu tan, jurang harga MSM Malaysia dan Indonesia telah mengecil dengan ketara kepada AS$152 bagi setiap tan (RM669 satu tan) berbanding AS$279 satu tan (RM1,226 satu tan) pada Januari 2022.

 

"Memandangkan pengeluaran yang lebih lemah, kami menjangkakan untuk melihat prestasi bercampur-campur dalam keputusan suku tahunan yang akan datang.

 

"Pada 2QFY22 purata harga MSM berada pada paras RM6,453 satu tan naik sebanyak 53.7% dari tahun ke tahun," katanya. - DagangNews.com