HLIB positif terhadap insiatif KPJ tingkatkan prestasi masa hadapan | DagangNews Skip to main content

HLIB positif terhadap insiatif KPJ tingkatkan prestasi masa hadapan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'beli' untuk KPJ Healthcare Berhad dengan harga sasaran (TP) RM1.13.

 

Firma itu positif terhadap kumpulan itu terutama selepas mereka bersedia untuk meningkatkan prestasinya pada masa hadapan menerusi beberapa inisiatif baharu.

 

Ia percaya, pemulihan pasca pandemik KPJ akan disokong oleh kehadiran semula pesakit tempatan dan asing selain positif terhadap pelupusan berterusan aset bukan terasnya.

 

"Menerusi cara itu KPJ boleh mengalihkan sumbernya untuk memberi fokus kepada operasi terasnya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, untuk meningkatkan pendapatan bagi pesakit asingnya, 12 daripada 28 hospital KPJ di seluruh negara telah dikenal pasti sebagai hospital pelancongan penjagaan kesihatan (HT).

 

Katanya, pasukan yang ditugaskan di hospital berkenaan akan meneliti perkara berkaitan pesakit asing untuk memastikan penukaran maksimum.

 

Firma itu berkata, hospital yang dikhaskan itu terletak di kawasan bandar raya dengan hubungan yang baik.

 

"Sebelum wabak, pelancongan perubatan hanya menyumbang kira-kira 5% daripada jumlah pendapatan kumpulan, dan pada kemuncaknya pada FY19, KPJ telah menjana pendapatan bernilai RM150 juta daripada pesakit asing.

 

"Dengan sempadan antarabangsa kini dibuka semula, KPJ telah menetapkan sasaran pendapatan sederhana sebanyak RM120 juta untuk FY22," katanya.

 

Firma itu terus menyukai KPJ kerana kumpulan itu bergerak ke arah yang betul dengan inisiatif yang telah disediakan dan pasti akan mendapat manfaat daripada pemulihan dalam jumlah pesakit tempatan dan asing. - DagangNews.com