Ayuh! Ubah persepsi negatif terhadap Ar-Rahnu | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 22 Mar 2022 07:52 AM

Ayuh! Ubah persepsi negatif terhadap Ar-Rahnu

 

 

BAGI penulis, motif utama kedai pajak gadai biasa yang bertaburan di setiap jalan di kota dan desa adalah untuk mendapatkan keuntungan perniagaan daripada jualan barang kemas yang dipajakkan. 

 

Lagi banyak pelanggan yang gagal tebus barang kemas, lagi banyaK keuntungan yang bakal mereka dapat. 

 

Oleh itu, mangsa utama kedai pajak gadai tersebut adalah golongan pelanggan yang kesempitan wang tetapi mempunyai barang kemas. Malangnya, kebanyakan pelanggan yang sebegitu adalah orang Melayu.

 

Jika, barang gagal ditebus, maka, hasil keseluruhan harga jualan barang kemas yang dilelong akan menjadi milik kedai pajak gadai tersebut. Sesen pun tidak dipulangkan. Yang tertindas adalah pelanggan. Malang sungguh nasib bangsa Melayu.

 

Atas sebab itulah konsep Ar-Rahnu dilaksanakan. Tujuannya untuk menyelamatkan pelanggan daripada 'lintah darat' yang tidak habis-habis menyedut darah mangsa. 

 

Tujuan Ar-Rahnu, bukan untuk menindas pelanggan yang kesempitan wang. Ia bertujuan membantu golongan yang kesempitan wang termasuk menyediakan modal jangka masa pendek untuk berniaga melalui kemudahan pembiayaan.

 

Sekiranya pelanggan gagal membayar balik pembiayaan, emas yang dicagar akan dijual untuk membayar jumlah tunggakan pembiayaan dan lebihan harga jualan emas tersebut akan dikembalikan kepada pelanggan, bukannya diambil bulat-bulat oleh seperti kedai pajak gadai biasa.

 

Penulis menyeru agar persepsi negatif kepada Ar-Rahnu kita dapat baiki ke arah yang positif. Ar-Rahnu adalah tempat untuk mendapat bantuan.

 

Malah, Ar-Rahnu, adalah tempat untuk bangsa Melayu meminta bantuan sekiranya kesempitan wang atau hendak berniaga.

 

 

ar-rahnu
Produk Ar-Rahnu terkini yang ditawarkan bank adalah berdasarkan kepada kepada platform tawaruq dan rahn. - Gambar hiasan

 

 

Apa beza Ar-Rahnu dulu dan sekarang?

 

Untuk makluman, terdapat perbezaan produk pajak gadai emas (Ar-Rahnu) dahulu dan sekarang. 

 

Produk Ar-Rahnu terdahulu yang berasas qard dan rahnu adalah produk menggadaikan emas (rahn) untuk memperoleh tunai melalui pinjaman tanpa riba. 

 

Para pelanggan bank hanya perlu membayar balik jumlah pinjaman tersebut sahaja tanpa sebarang faedah.
 

Emas yang dicagarkan akan disimpan serta dijamin keselamatannya oleh pihak bank melalui kontrak wadiah – jaminan keselamatan. 

 

Di bawah kontrak wadiah, bank dibenarkan untuk mengenakan caj upah simpan (ujrah) berdasarkan kepada nilai emas (marhun) yang dicagarkan.

 

Produk Ar-Rahnu terkini pula telah ditawarkan oleh bank yang berdasarkan kepada kepada platform tawaruq dan rahn. Ia adalah produk pembiayaan dan bukan produk pinjaman. 

 

Dalam erti kata mudah, pelanggan akan memohon pembiayaan tunai bersandarkan kepada platform tawarruq dan seterusnya mencagarkan emas mereka kepada pihak bank dengan menggunakan kontrak rahn. 


 

BNM

 


Tujuan perubahan struktur produk Ar-Rahnu ini adalah bermatlamat untuk memenuhi keperluan syariah yang ditetapkan dalam Dokumen Polisi Rahn (PD Rahn) yang diwartakan Bank Negara Malaysia.

 

Penulis menyeru orang Melayu khususnya, agar ramai-ramai menyokong produk Ar-Rahnu. Ia bakal menghalang mereka daripada terjebak dengan kedai pajak gadai biasa yang menanti untuk membaham mangsa. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm