BEZA DOKUMENTASI ISLAMIK DAN KONVENSIONAL DALAM PERBANKAN ISLAM
PELAKSANAAN dokumen yang selaras dengan tujuan pembiayaan adalah amat penting dalam perbankan.
Kadang-kala masih ada sebilangan pelanggan bank yang tidak tahu menahu terma dan syarat yang terkandung dalam dokumen apabila mereka menandatanganinya.
Di Malaysia sistem perbankan terdiri daripada sistem konvensional dan sistem Islam. Memang ketara beza antar dokumen dalam Islamik berbanding dengan dokumen konvensional.
Antara perkara penting ialah hubungan pelanggan dengan pihak bank dalam dokumen tersebut.
Atur cara dokumentasi kemudahan kredit bank sama ada Islamik atau konvensional, ada 3 bahagian:
1. Surat Tawaran
2. Perjanjian
3. Dokumen Cagaran
Surat Tawaran adalah surat penawaran bank kepada pelanggan (hasil daripada permohonan yang dibuat pelanggan) untuk kemudahan kredit yang ditawar.
Kalau pelanggan bersetuju dengan tawaran bank tersebut, pelanggan akan menandatangani persetujuan dalam satu tempoh yang dinyatakan di surat tawaran tersebut.
Maka, bank dapatlah menyediakan perjanjian untuk sama-sama ditandatangani.
Perjanjian pula adalah aqad atau kontrak bertulis yang dilakukan untuk urus niaga antara bank dengan pelanggan.
Kontrak antara bank dan pelanggan dalam perjanjian ini adalah berbeza, sama ada kontrak pinjaman, kontrak jualan, kontrak sewaan, kontrak usahasama atau lain-lain kontrak yang ditawar seperti disebut dalam surat tawaran.
Kebiasaannya, pelaksanaan perjanjian ini dilakukan di hadapan panel peguam yang dilantik oleh pihak bank.
Perjanjian ini adalah satu satunya dokumen yang lain dari yang lain. Ini adalah kerana perjanjian ini akan dimeterai mengikut hubungan urusan perbankan antara pelanggan dan pihak bank.
Jika perbankan konvensional perjanjian yang akan dimeterai adalah pinjaman, antara peminjam dan si beri pinjam.
Jika perbankan Islam pula, perjanjian yang dimeterai adalah perjanjian jualan, usahasama atau sewa beli, di mana hubungan urusan perbankan antar pelanggan dan bank adalah pembeli-penjual, rakan-kongsi ataupun tuan punya harta-penyewa.
Dokumen cagaran pula adalah cagaran atau surat jaminan atau apa-apa sahaja perkara yang sama waktu dengannya yang bertujuan untuk 'pastikan' bayaran bulanan kepada pembiayaan atau pinjaman, yakni, hutang oleh pelanggan dibayar sepenuhnya oleh pelanggan menurut tempuh dan masa yang dipersetujui.
Jika pelanggan gagal melunaskan bayaran hutang atau gagal membayar bayaran bulanan seperti dijanji dalam perjanjian, maka aset yang dicagar akan dijual atau dilelong oleh pihak bank untuk melunaskan hutang yang tertunggak.
Malah sesiapa yang menjadi penjamin akan mengambil alih tanggungjawab untuk membayar hutang yang tertunggak tersebut.
Sila ambil maklum bahawa obligasi penjamin adalah sama seperti obligasi orang yang berhutang. - DagangNews.com