Ejen yang bertanggungjawab bantu pelabur ketahui tahap risiko pelaburan  | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 28 Jun 2022 07:48 AM

EJEN YANG BERTANGGUNGJAWAB BANTU PELABUR KETAHUI TAHAP RISIKO PELABURAN

 

 

SEBELUM melabur dalam dana unit amanah Islamik, para pelabur dinasihatkan untuk bertanya selera pelaburan yang mereka idamkan. Apakah tahap selera risiko yang mahu mereka ambil? 

 

Ada sesetengah pelabur sangat konservatif dengan pelaburan dan ada pula terlalu berminat untuk mengambil risiko yang lebih tinggi kerana mengharapkan pulangan pelaburan besar.

 

Secara ringkasnya, risiko ialah kemungkinan sesuatu yang buruk berlaku. Risiko melibatkan ketidakpastian tentang kesan atau implikasi sesuatu aktiviti berkenaan dengan sesuatu yang manusia nilai, selalunya memberi tumpuan kepada akibat negatif dan tidak diingini.

 

Dalam kewangan pula, risiko membayangkan situasi di mana ketidakpastian masa depan tentang harapan yang tergelincir daripada jangkaan pendapatan atau hasil pelaburan. 

 

Risiko sebenarnya akan mengukur ketidakpastian yang pelabur sanggup ambil untuk merealisasikan keuntungan daripada pelaburan yang mereka akan buat.

 

 

gambar hiasan

 

 

Tahap risiko yang perlu pelabur tahu

 

Semua pelaburan melibatkan tahap risiko tertentu. Dalam kewangan, risiko merujuk kepada tahap ketidakpastian dan/atau potensi kerugian kewangan yang wujud dalam keputusan pelaburan. 

 

Secara umum, apabila risiko pelaburan meningkat, pelabur mencari pulangan yang lebih tinggi untuk mengimbangi diri mereka sendiri untuk mengambil risiko tersebut.

 

Bagi penulis, antara risiko pelaburan yang perlu para pelabur ambil maklum adalah risiko syarikat, risiko kemeruapan (volatility), risiko pasaran termasuk kos peluang (opportunity cost). 

 

Empat risiko ini bukanlah risiko yang akan para pelabur akan hadapi, tetapi ia adalah pertimbangan penting untuk membina strategi pelaburan yang kukuh. 

 

 

gambar hiasan

 

 

Bagaimana mahu menguruskan risiko dalam pelaburan?

 

Salah satu ilmu wajib yang perlu ada pada pelabur yang berjaya adalah ilmu pengurusan risiko. Ia berkaitan dengan cara dan strategi menguruskan risiko pelaburan. 

 

Untuk menguruskan risiko, pelabur harus melabur dalam portfolio pelbagai pelaburan yang berbeza. Mereka harus memperuntukkan modal mereka kepada kelas aset yang berbeza mengikut profil pulangan risiko yang mereka inginkan. 

 

Dengan pukul rata kos ringgit boleh melupuskan risiko masa (risk of timing) untuk mereka masuk ke pasaran secara tidak tepat.

 

Di pasaran, ramai pengurus dana serta ejen yang berdaftar sedang mencari para pelanggan untuk melabur dalam dana unit amanah. 

 

Oleh demikian, para ejen, yang penulis gelar ‘dae kewangan Islam’, perlu bertanyakan kepada pelanggan mereka yang ingin melabur sama ada mereka ini berselera risiko tinggi atau rendah atau di tengah-tengah. 

 

Ini kerana dalam adat pelaburan, selalunya pulangan kepada pelaburan akan berdasar kepada 'the higher the risk, the higher return'. 

 

Sila terangkan kelas-kelas pelaburan ini, serta risiko-risiko pelaburan sebelum meminta pelanggan pilih selera mereka atas pelaburan yang bakal dibuat. 

 

Janganlah mengharap para pelanggan membaca prospektus sahaja. Kena anggap mereka tidak baca. Ejen perlu menerangkan, apakah aggresive fund? Bagaimana fixed income fund boleh mendatangkan pulangan? Kenapa pilih balance fund?

 

 

gambar hiasan

 

 

 

Tahu jenis pelaburan yang dibuat

 

Dana pendapatan tetap (fixed income fund) ialah dana yang menumpukan pada pelaburan dalam sekuriti hutang, di mana sekuriti hutang akan menunjukkan pemiutang kepada pemegang dokumen.  Contoh sekuriti hutang termasuk sukuk kerajaan dan debentur. Jika sekuriti hutang itu dikeluarkan oleh kerajaan, kita akan memanggilnya sukuk kerajaan.

 

Dana seimbang (balance fund) ialah dana yang mengandungi pelaburan dalam saham dan sukuk. Ia kadangkala dipanggil dana campuran. Biasanya, saham membentuk antara 50% dan 70% daripada dana bersama seimbang, dengan sukuk menyumbang selebihnya.

 

Dana pertumbuhan agresif (aggressive growth fund) pula adalah sejenis dana pelaburan yang bertujuan untuk mengembalikan keuntungan modal tertinggi. Dana ini memegang saham syarikat yang berpotensi untuk pertumbuhan pesat. Dana sedemikian biasanya memberikan pulangan yang tinggi dalam pasaran menaik dan kerugian dalam pasaran menanggung.

 

Semua terminologi ini haruslah difahamkan kepada pelanggan mereka, yakni, para bakal pelabur. Setelah ejen memberi penerangan, maka barulah 'terlepas' tanggungjawab ejen untuk pastikan bakal pelanggan mereka itu membuat pilihan yang tepat dengan selera risiko.

 

Ejen yang beretika, komited dan bertanggung jawab inilah yang akan 'menambah nilai' kepada pelanggan dan seterusnya menaikkan nama produk kewangan Islam. - DagangNews.com

 


Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm