Merungkai kekeliruan hukum forex, haram atau harus? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 24 Aug 2021 06:57 AM

Merungkai kekeliruan hukum forex, haram atau harus?

 

 

ISU diskriminasi pedagang runcit mata wang untuk menjalankan transaksi dagangan mata wang asing (forex), jika dibandingkan dengan bank-bank kembali diperkatakan.

 

Adakah benar forex ini tidak boleh dilaksanakan menurut syariah di dalam industri kewangan, sedangkan ia merupakan satu daripada aktiviti penting dalam sistem kewangan negara?

 


Bagi penulis, dalam muamalat, hukum bertransaksi instrumen kewangan sentiasa bersifat harus, selagi mana tidak ada fatwa atau keputusan yang mengharamkannya. 

 

Oleh demikian, hukum forex asalnya adalah harus. Jual beli mata wang atau forex ini dibenarkan syariah, asalkan ia menurut syarat-syarat kontrak jual beli mata wang secara Islam, yakni, Bay Al-Sarf.

 

Dalam isu pedagang runcit mata wang ini, sekiranya mereka dapat melaksanakan syarat-syarat Bay Al Sarf keseluruhannya, maka sepatutnya transaksi forex dibenarkan.

 

Ia bukan isu diskriminasi. Bank-bank sememangnya mampu mengikuti dan memenuhi semua syarat-syarat Bay Al Sarf, dan sebab itu, ia dibenarkan. 

 

Antara kelebihan bank adalah pihak mereka mempunyai akaun antarabangsa nostro/vostro yang mampu menepati satu daripada kehendak-kehendak syarat Bay Al Sarf. 

 

Tambahan pula, bank mempunyai jawatankuasa syariah yang sentiasa mengawasi dan mengawal selia semua transaksi forex bank-bank dari semasa ke semasa.

 

Menurut pandangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, antara syarat-syarat utama Bay Al Sarf yang mesti dituruti adalah:

 

  • Berlaku taqabbudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat dalam platform forex sebelum kedua-dua pihak yang menjalankan transaksi berpisah daripada majlis akad

 

  • Jual beli mata wang hendaklah dijalankan secara lani dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan

 

  • Akad jual beli al-sarf mesti bebas daripada khiyar al-Syart (Khiyar syarat). Khiyar syarat berlaku apabila salah satu atau kedua-dua pihak menetapkan syarat ia mempunyai hak khiyar iaitu hak untuk membatalkan kontrak dalam tempoh tertentu

 

  • Operasi perdagangan pertukaran mata wang asing ini hendaklah bebas daripada sebarang unsur riba, elemen al-Salaf wa al-Bay, yakni, pemberian hutang dengan syarat dilakukan transaksi jual beli. Ia juga termasuklah bebas daripada unsur perjudian, gharar yang berlebihan dan kezaliman atau eksploitasi.

 

 

forex
Forex merupakan satu daripada aktiviti penting dalam sistem kewangan negara. - Gambar hiasan

 

 

Menjadikan forex patuh syariah

 

Sehubungan itu, jika pedagang runcit mata wang dapat menepati dan melaksanakan syarat-syarat di atas, maka transaksi forex mereka sepatutnya dibenarkan. 

 

Namun begitu, apabila kes transaksi mereka dibentangkan kepada pihak mufti agama Islam, perbentangan mereka telah gagal membuktikan (hingga kini) pedagang runcit mata wang mampu mengikuti dan melaksanakan syarat-syarat Bay Al Sarf. 

 

Sebab itu, para mufti negeri mengeluarkan kenyataan bahawa hukum forex yang dilaksanakan broker-broker mata wang itu (setelah mengambil kira fakta dalam pembentangan dan penerangan) adalah tidak patuh syariah. 

 

Pada penulis, secara am, forex hukumnya harus, selagi mana ia dapat mengikuti syarat-syarat Bay Al Sarf dan penulis amat menggalakan pedagang runcit mata wang ini untuk cuba dari semasa ke semasa, mencari jalan melaksanakan syarat-syarat Bay Al Sarf ini, agar transaksi forex mereka menjadi halal.

 

Pengalaman serta kemampanan dalam urus niaga forex adalah dihargai dan para bijak pandai syariah perlu memberi peluang dan tunjuk ajar kepada mereka untuk melaksanakan forex mengikut kehendak syariah. 

 

Jangan pula sewenang-wenangnya membuat pendirian secara pukul rata dengan mengatakan yang forex itu haram.

 

Penulis berdoa agar para pedagang runcit mata wang yang beragama Islam dapat sama-sama berbincang dan mengembleng tenaga untuk mengadakan forex patuh syariah dalam masa terdekat. Ia adalah fardu kifayah untuk kita. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan seorang Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia