Dana-dana bantuan kerajaan untuk semarakkan Industri Kreatif
MALAYSIA kini memasuki fasa peralihan ke arah endemik, sekaligus menyaksikan semakin banyak kegiatan ekonomi dapat beroperasi dengan kapasiti yang lebih baik. Ini termasuklah dalam industri kreatif.
Oleh kerana faktor itu juga, kita dapat melihat pihak kerajaan melalui pelbagai kementerian, jabatan serta agensi mula menawarkan pelbagai bantuan serta sokongan, termasuklah dalam bentuk dana dan geran.
Ini adalah bagi menjadi sokongan pemula untuk menggerakkan kembali kegiatan, penghasilan serta keupayaan perniagaan masing-masing dalam fasa peralihan ini.
Oleh yang demikian, saya suka untuk berkongsi beberapa geran berkaitan industri kreatif yang kini sedang dibuka permohonannya – sebagai makluman kepada seluruh penggiat industri ini.
Satu daripadanya adalah Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya (MOTAC), yang menerusi agensinya, Tourism Malaysia sejak 1 April 2022 yang lalu membuka permohonan bagi Geran Padanan Pelancongan, Seni & Budaya (GPPSB) dengan peruntukan sebanyak RM50 juta secara one-off di bawah peruntukan Bajet 2022.
Geran ini menawarkan pembiayaan untuk penganjuran aktiviti di bawah dua sektor iaitu Geran Sepadan Sektor Pelancongan (GSSP) dan Geran Sepadan Sektor Kebudayaan, dengan permohonan maksimum masing-masing berjumlah RM1 juta dan RM500,000 bagi setiap permohonan.
Permohonan ini dibuka kepada syarikat serta badan bukan kerajaan (NGO), dengan butiran lanjut permohonan boleh didapati dari laman web Tourism Malaysia.
Selain itu, bermula 1 April yang lalu juga, pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) membuka kepada penggiat sektor kandungan kreatif bagi membuat permohonan Dana Kandungan Digital FINAS (DKD FINAS). Dana ini memfokuskan kepada penghasilan kandungan kreatif yang terbahagi kepada empat kategori.
Pertamanya adalah bagi penerbitan filem cereka dengan pembiayaan sehingga RM1.5 juta; dengan yang kedua, penerbitan dokumentari kenegaraan (seni, budaya & warisan), dengan pembiayaan sehingga RM250,000.
Kategori ketiga pula adalah bagi penerbitan dokumentari bintang nostalgia, iaitu dokumentari mengenai karyawan dan penggiat veteran – dengan kadar maksimum RM250,000 setiap permohonan, serta yang terakhir adalah kategori Dana Khas Filem Pendek yang dikhususkan kepada karyawan muda di bawah usia 35 tahun, dengan peruntukan maksimum RM30,000.
Permohonan dibuka bagi syarikat penerbitan kandungan kreatif yang mempunyai lesen penerbitan dan pengedaran dari FINAS, melainkan Dana Khas Filem Pendek yang turut dibuka kepada permohonan individu. Permohonan kini dibuka sehingga 25 April 2022, dan maklumat lanjut boleh diteliti di laman web rasmi FINAS.
Satu lagi pembiayaan bagi industri kreatif yang sedang dibuka permohonannya adalah Geran Pemangkin Ekonomi Budaya (CECG) yang dibuka oleh agensi Think City, melalui pembiayaan Kementerian Kewangan di bawah peruntukan Bajet 2022.
Buat yang tidak mengetahui, Think City adalah sebuah organisasi di bawah Khazanah Nasional yang memfokuskan kepada usaha menjadikan bandar-bandar di Malaysia sebagai mesra komuniti, berdaya tahan dengan menjadi pemangkin kepada perubahan dalam mekanisme merancang, membangun serta meraikan bandar-bandar ini.
Bagi CEGC ini, sejumlah RM10 juta diperuntukkan dengan setiap pemohon boleh memohon antara RM5,000 hingga RM500,000 bagi setiap permohonan bagi menjalankan kegiatan berteraskan ekonomi budaya.
CEGC difokuskan kepada sesiapa sahaja yang mahu atau sedang menjalankan kegiatan penjanaan ekonomi berteraskan budaya di tiga buah bandar di utara tanah air yang menjadi fokus kali ini iaitu Kuala Kangsar, Taiping & Lenggong.
Sebanyak tiga fokus aktiviti yang dibolehkan untuk memohon iaitu Pembinaan Kapasiti & Advokasi, memfokuskan aktiviti memperkasa komuniti tempatan dalam bidang keusahawanan, kemahiran dan program-program bersifat komuniti.
Fokus kedua adalah Penciptaan Kandungan, bagi aktiviti mengumpul, menyusun, menerbit dan mentafsir maklumat untuk dikongsi dengan orang ramai, sekaligus memperkayakan pengalaman pelawat ke tiga lokasi terbabit.
Manakala fokus yang terakhir adalah aktiviti bersifat Demonstrasi, contohnya aktiviti seperti program perantis untuk karyawan setempat, projek pemulihan bangunan tradisional, pembangunan galeri komuniti, dan lain-lain yang berkaitan.
Pembiayaan geran yang pertama kali disediakan ini dibuka permohonannya sehingga 22 Mei 2022, serta maklumat lanjut boleh diikuti di laman web Think City.
Selain itu, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) juga kini sedang membuka permohonan bagi Geran Kandungan Digital (DCG) dengan permohonan dibuka sehingga 30 April ini.
DCG yang dijalankan saban tahun sejak beberapa tahun lalu adalah inisiatif bagi menggalak pembikin kandungan tempatan, khususnya dari sektor animasi, permainan video, media interaktif, kesan khas digital serta kandungan digital yang lain, khususnya dari golongan pemula (start-up) untuk membangunkan kandungan yang mampu bersaing dalam pasaran global.
Tahun ini, geran ini menyediakan dua kategori iaitu geran bagi tujuan pembangunan serta geran bagi tujuan pemasaran dan perlesenan harta intelek.
Geran pembangunan adalah memfokuskan bagi projek yang di fasa pembangunan iaitu aktiviti seperti pembangunan watak atau skrip, percubaan teknologi animasi, pembangunan prototaip games, mahupun penghasilan kit bagi tujuan mencari pelaburan bagi projek tersebut.
Bagi geran pemasaran harta intelek pula, pembiayaan meliputi pemasaran kandungan ke dalam atau luar negara, kos alih bahasa kandungan ke bahasa lain, pendaftaran IP, kerja-kerja perhubungan awam, dan beberapa lagi aktiviti yang termasuk dalam skop pembiayaan geran ini.
Permohonan kini dibuka sehingga 30 April, dengan maklumat lanjut boleh diperoleh dari laman web MDEC.
ARTIKEL BERKAITAN: Kementerian Komunikasi dan Multimedia lancar Geran Kandungan Digital 2022 bantu syarikat kandungan
Selain itu, terdapat juga beberapa geran berasaskan teknologi dan inovasi sedang dibuka oleh Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI). Sekiranya projek industri kreatif yang sedang anda bangunkan mempunyai elemen inovasi mahupun teknologi, anda juga boleh untuk memohon.
Satu daripadanya adalah Dana Inovasi Sosial Malaysia (MyIS) iaitu geran pembiayaan MOSTI yang dilaksanakan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dan dibuka sehingga 30 April 2022.
Sebuah lagi adalah Grassroad Open Challenge 2022 yang juga dibuka sehingga 30 April kepada para inovator, dengan pembiayaan sehingga RM100,000. Jika anda mempunyai idea yang dirasakan sesuai, bolehlah lawati laman web MOSTI atau YIM untuk maklumat lanjut.
Geran adalah satu bentuk bantuan pemula untuk penggiat dan usahawan bagi meneroka potensi lebih luas di pasaran terbuka, dan diharapkan para usahawan industri kreatif tidak hanya bergantung kepada geran semata-mata sehingga menjadi seperti apa yang diperkatakan ramai pihak sebagai `grantpreneur’.
Diharapkan juga seluruh warga industri kreatif akan memanfaatkan segala bantuan mahupun geran yang disediakan ini, bukan sekadar bagi membiayai projek jangka masa pendek namun lebih dari itu memanfaatkannya dalam membangunkan harta intelek yang mampu menjana pendapatan jangka masa panjang.
Ini sekaligus mampu menjadi aset berharga kepada syarikat dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan pada masa depan. – DagangNews.com
Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).