Organisasi sukan wajar dipimpin ahli sukan, orang lain jadi AJK cukuplah | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Infiniti - 16 Aug 2024 08:00 AM

Organisasi sukan wajar dipimpin ahli sukan, orang lain jadi AJK cukuplah

 

 

 

SETELAH tamat temasya Sukan Olimpik 2024 sudah tentu ramai yang kerajaan mahu memperkemaskan struktur dalam barisan kepimpinan sukan menerusi pendekatan meletakkan orang yang betul dalam kedudukan yang betul daripada corak baju kontinjen sehinggalah kepada kepimpinan sukan di Malaysia.

 

Walau bagaimanapun pasti akan banyak pihak yang akan mula memberitahu bahawa mereka tidak mempunyai kuasa dalam organisasi dan persatuan sukan untuk pelantikan serta pemilihan kerana ia dibuat menerusi demokrasi dan proses tertentu yang perlu dihormati semua pihak.

 

Kecekapan seseorang dalam memimpin adalah sangat penting dan perlukan kemahiran pengurusan sukan. Sebab seorang pemimpin akan mencorakkan bakat ahli sukan melalui dasar yang dibuatnya.

 

Maka kualiti ahli sukan yang dilahirkan adalah bergantung kepada kewibawaan seseorang pemimpin bidang sukan tersebut terutama dalam membuat perancangan latihan jangka masa panjang dan pendek.  

 

Meletakkan seseorang yang berbakat dan arif dalam bidangnya adalah merupakan keadilan dalam konsep kepimpinan bukan sahaja dalam institusi sukan malahan di semua bidang.

 

Takrifan keadilan di sini merangkumi maksud keseimbangan, kesaksamaan dan pemberian hak kepada mereka yang berhak pada kepakaran dan ilmunya dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul.

 

 

infiniti
Penerjun negara Nur Dhabitah Sabri - Gambar BERNAMA

 

 

Secara keseluruhan, ini dikatakan keadilan kerana ini bermakna tidak berlaku sebarang bentuk penindasan, tidak ada yang berkepentingan, tidak menzalimi keilmuan dan kepakaran orang dan tidak memilih kasih dalam memberi layanan dan hak kepada orang yang berhak.

 

Justeru, tidak hairanlah jika kita dituntut untuk turut menekankan keadilan dalam segala urusannya termasuk memilih kepimpinan sukan terbaik untuk negara apatah lagi dengan melaksanakan keadilan ini dapat mencegah daripada berlakunya penindasan, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya yang bertentangan dengan nilai-nilai murni dan akhirnya meningkatkan prestasi sukan negara.

 

Hal yang berkaitan dengan keadilan ini seharusnya turut sama dituntut dan dipandang penting dalam pengurusan organisasi sukan kita. Tuntutan menegakkan keadilan dalam organisasi memerlukan kepimpinan yang bertanggungjawab serta mempunyai kekuatan moral dan kejujuran yang tinggi. Keadilan dalam pengurusan organisasi bermula dari proses pelantikan sesuatu jawatan.

 

Untuk mendapatkan keputusan berprestasi, bermula dalam hal pelantikan, pihak bertanggung jawab perlulah melantik calon yang benar-benar berkelayakan dan berkebolehan. Sebagai contoh, calon yang menghadiri temuduga perlulah mempunyai satu set pencapaian lepas yang besar dalam bidang sukan yang ingin diterajuinya.

 

Menghadiri temuduga tidak sepatutnya dijadikan satu proses hanya untuk melengkapi syarat. Tetapi proses ini perlu dilihat sebagai satu proses yang penting dalam mendapatkan kepimpinan sukan yang berkualiti di negara ini.

 

Kita perlu perhatikan di sini, pelantikan dan pemilihan kepimpinan secara mengikut merit dan kepakaran  ini bukannya sekadar mengisi kekosongan jawatan yang ada. Malah perlantikan ini perlulah adil dalam memilih orang yang benar-benar mempunyai ilmu dalam sukan tersebut dan berkelayakan dalam memimpin serta memegang tugas yang diamanahkan.

 

Hal ini menggambarkan kepada kita bahawa pelantikan dan pemilihan calon yang tepat akan menyebabkan sesebuah organisasi itu berjalan dengan lancar dan berkesan. Ini adalah untuk memastikan prestasi pasukan negara untuk sukan Olimpik akan datang berada pada prestasi yang jauh lebih baik.

 

 

lee zee jia
Lee Zii Jia meraih pingat gangsa di Olimpik 2024. - Gambar FB LZJ

 

 

Selain pelantikan, bayaran gaji dan imbuhan yang setimpal juga perlulah dibuat secara adil. Bayaran gaji yang diberikan itu perlulah setimpal dengan kelayakan, taraf hidup dan keadaan setempat. Bagi mengelakkan penipuan dan diskiminasi dalam organisasi.

 

Di samping itu, keadilan dalam kebajikan para ahli sukan perlulah diberikan perhatian sewajarnya. Sebagai pentadbir sukan, mereka perlu adil dalam kebajikan terutamanya dari segi, kesihatan dan keselamatan.

 

Pengabaian organisasi sukan terhadap kebajikan para ahli sukan akan menyebabkkan kualiti dalam kalangan ahli sukan menurun. Secara tidak langsung, ini akan menjejaskan matlamat organisasi terbabit dan negara dalam mencapai tingkat prestasi tertentu.

 

Manakala dari segi pengembangan kerjaya pula, setiap persatuan perlu bertindak adil dengan memberi ruang dan peluang kepada semua ahli sukannya perkembangan pertanding di tahap terbaik di dalam mahu pun di luar negara.

 

Bukan sahaja pertandingan malahan latihan untuk meningkatkan kemahiran, dan diberi insentif serta pengikhtirafan kepada mereka yang benar-benar layak atau yang terbaik bukan pilih kasih perlu di titik beratkan.

 

Sehingga kini, sejauhmanakah keadilan dalam lantikan kepimpinan sukan di negara kita terlaksana?  Yang pasti soal keadilan sangat di perlukan dalam organisasi dan bukan sahaja organisasi sukan.

 

Ini adalah  untuk kepentingan organisasi sukan di negara ini malah untuk kepentingan masyarakat dan negara.

 

 

infiniti

 

 

Adalah tidak adil mengeluarkan kenyataan kegagalan di dalam temasya sukan olimpik tahun 2024 adalah kerana mengharapkan “ahli sukan kuda tua”. Tua atau muda kuda yang dipertaruhkan adalah bergantung kepada kepimpinan sukan di negara ini. 

 

Bagilah juga bekas ahli sukan sendiri menerajui organisasi sukan. Orang lain boleh sumbang bakti, tetapi jadi ahli jawatankuasa cukuplah. - DagangNews.com

 

 

Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INFINITI

 

dagangnews