Pemasaran Hijau: Sayangi bumi melalui Strategi Pemasaran Mampan atau Penjimatan Kos | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Infiniti - 09 Jun 2023 08:00 AM

Pemasaran Hijau: Sayangi Bumi Melalui Strategi Pemasaran Mampan  atau Penjimatan Kos

 

 

PEMASARAN hijau merupakan istilah yang terus berkumandang dalam kalangan pakar strategi pemasaran dalam era digital.

 

Perkembangan dunia pemasaran di era digital menjadikan pengguna lebih bermaklumat dan bijak tentang produk yang akan mereka beli.

 

Bukan sahaja mengenai kebaikan dan keburukan sesuatu jenama itu, malahan pengguna hari ini juga lebih selektif dalam memahami bagaimana sesuatu jenama itu memberi kesan kepada alam sekitar dan menyokong pembangunan mampan.

 

Ini telah mendorong banyak syarikat besar di dunia untuk memberi perhatian kepada produk yang mesra alam. Produk mesra alam perlu disokong dengan strategi pemasaran yang seiring agar nilai yang ditawarkan oleh produk ini dapat disampaikan dengan jelas dan baik. Strategi pemasaran ini dikenali sebagai pemasaran hijau.

 

Di Malaysia, strategi ini juga popular digunakan oleh pelbagai perniagaan dan syarikat. Malah menjadi nilai tambah utama yang ditawarkan kepada pengguna.Apakah sebenarnya konsep pemasaran hijau? Apakah contoh aplikasinya?


 

infiniti

 


Apakah Pemasaran Hijau?

Kebanyakan ahli pemasaran dalam era digital mendefinasikan pemasaran hijau ialah amalan baik yang mesra alam sekitar mahupun budaya bagi  mempromosi produk, baik barangan/ perkhidmatan dan juga inisiatif mesra alam. Pemasaran hijau ini merujuk kepada pelbagai amalan dan strategi mesra alam.

 

Konsep ini disebut-sebut sebagai strategi taktikal untuk menyokong program pembangunan mampan. Bagi pemilik jenama, matlamat pemasaran hijau adalah untuk meningkatkan persepsi jenama yang akan dianggap memberi kesan positif terhadap alam sekitar oleh pengguna.

 

Strategi pemasaran hijau menjadi konsep popular kerana semakin ramai orang mengambil berat tentang isu alam sekitar semasa, seperti sisa pakaian, sisa makanan, pemanasan global, kebakaran hutan, sisa plastik dan banyak lagi.

 

Berdasarkan penyelidikan yang dijalankan sekitar tahun 2020 yang dilaporkan dari Shopify, sebanyak 77% pengguna memberi tumpuan pada konsep kemampanan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar mereka sangat penting dalam memilih produk.

 

Pada asasnya, harga yang ditawarkan daripada pemasaran hijau biasanya lebih mahal daripada amalan pemasaran tradisional, tetapi permintaan semakin meningkat dan boleh dikembangkan lagi. Bagi sesetengah pengguna dan perniagaan tertentu, kesan alam sekitar jauh lebih penting daripada harga.

 

Kepentingan Pemasaran Hijau

Perkembangan pesat pemasaran hijau dicetuskan oleh banyak ancaman bencana alam sekitar global yang melanda hampir semua negara di dunia seperti masalah pemanasan global yang Malaysia hadapi sekarang.


 

tnb

 


Ancaman ini termasuk pencemaran, kemusnahan biodiversiti dan haiwan, kebakaran hutan, pencemaran marin, dan kemarau.

 

Dengan bencana ini, pengguna semakin sedar akan kepentingan menjaga alam sekitar. Kesedaran alam sekitar ini direalisasikan dengan kesanggupan pengguna membelanjakan lebih banyak wang apabila membeli produk yang mesra alam.

 

Jenama yang ingin memenuhi kehendak pengguna terhadap jenama mesra alam sudah tentu menghasilkan barangan atau perkhidmatan yang mempunyai nilai positif terhadap alam sekitar.

 

Pemasaran hijau memerlukan perniagaan untuk mula mengubah setiap aspek rantaian nilai untuk menggabungkan elemen mampan untuk alam sekitar.

 

Strategi Pemasaran Hijau

Penerapan pemasaran hijau bukan sahaja tertumpu kepada produk, tetapi juga boleh digunakan dalam taktik strategik yang lain.

 

Antara lainnya banyak jenama besar mula beralih kepada pemasaran digital dan bukannya pemasaran cetakan berasaskan kertas.


 

tnb

 


Banyak juga jenama antarabangsa mula melaksanakan amalan pelupusan sisa yang bertanggungjawab. Selain itu banyak juga jenama telah mula menggunakan pembungkusan mesra alam atau boleh dikitar semula seperti menukar pembungkusan plastik ke kertas.

 

Pemilik jenama jenama besar juga berlumba untuk mempunyai pensijilan berasaskan alam sekitar.

 

Menggunakan tenaga boleh diperbaharui dan amalan pertanian mampan juga kini menjadi tumpuan jenama jenama produk kini.

 

Mereka mula mencari penyelesaian alternatif untuk mengurangkan pelepasan karbon daripada aktiviti pengeluaran dan operasi serta menggunakan kaedah penghantaran yang cekap dan mesra alam, dan banyak lagi.

 

Syarikat yang melaksanakan beberapa strategi di atas melihat perniagaan yang mampan sebagai pelaburan jangka panjang. Dalam pelaksanaannya, syarikat akan mengutamakan kebajikan alam sekitar, bumi dan generasi akan datang berbanding keuntungan jangka pendek.

 

Selain itu, jenama jenama ini turut membawa konsep bebas kekejaman ke atas haiwan dan juga proses penghasilannya yang selamat untuk alam sekitar dan hidupan.


 

tnb

 


Strategi ini membuatkan pengguna berasa selamat daripada pelbagai bahan kimia yang terkandung dalam produk.

 

Dengan memahami strategi ini, kerenah pengguna yang lebih selektif dalam memilih produk yang sesuai dengan nilai alam sekitar yang mereka percaya akan mudah difahami.

 

Akhirnya pemilik jenama, penjual dan pengguna akhir boleh bersama-sama dengan produk kegemaran untuk menyokong persekitaran yang mampan. – DagangNews.com

 

Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan.

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INFINITI