Perkasa tenaga kerja sektor elektrik dan elektronik | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Infiniti - 29 Mar 2024 08:00 AM

Perkasa Tenaga Kerja Sektor Elektrik dan Elektronik

 

 

Sektor elektrik dan elektronik (E&E) di Malaysia mempunyai potensi besar untuk memenuhi permintaan global yang meningkat terutamanya untuk pasaran semikonduktor dunia.

 

Ini disokong dengan trend kemasukan pelabur asing yang kita lihat terkini. Sebelum ini industri elektrikal dan elektronik (E&E) negara dicatatkan menyumbang hampir 13 peratus dalam pengujian dan pempakejan cip dunia akan diperkukuh untuk beralih ke rantaian nilai yang lebih tinggi dalam masa mendatang.

 

Industri matang ini terus berkembang dengan penggunaan teknologi baharu, inovatif dan canggih. Malaysia hari ini merupakan pemain utama dalam pasaran E&E yang berkembang pesat, di mana destinasi eksport utama termasuk Singapura, Hong Kong, Amerika Syarikat, China, Jepun dan Eropah.

 

Juara industri tempatan ini beroperasi bersama syarikat multinasional (MNC) dari Amerika Syarikat, Jepun, Republik China (Taiwan), Republik Korea dan beberapa negara Eropah, mengeluarkan produk daripada peranti semikonduktor kepada pengguna dan elektronik industri.

 

Sektor E&E dikatakan menyumbang sebanyak RM386 bilion iaitu 39.4 peratus kepada jumlah eksport negara. Dalam enam bulan pertama 2021, jumlah eksport E&E pada tahun lepas inin dijangka akan meningkat sebanyak 28 peratus berbanding tahun lalu.

 

Melihatkan perkembangan yang dinamik ini yang akan memberi peluang yang baik kepada Malaysia untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam fasa pemulihan ekonomi yang menjadi agenda tahun 2024, kualiti pekerja dalam sektor ini perlu diberikan tumpuan khusus.

 

Usaha usaha khusus ini boleh diterjemahkan melalui kerjasama strategik institusi pendidikan tinggi, agensi agensi kerajaan seperti TalentCorp.

 

Industri dan institusi seharusnya bekerja sama mengetengahkan program pengembangan kapasiti yang mampu menyokong peluang pekerjaan tersedia di samping membantu bakat baru untuk merangka perancangan kerjaya mereka. Ini akan mempertingkatkan keterlibatan mereka dalam sektor ini.

 

Berdasarkan perangkaan perdagangan semikonduktor dunia, sektor semikonduktor global dijangka berkembang pada kadar 20 peratus (AS$527 bilion) pada tahun mendatang dan bakal bertambah sebanyak 10 peratus pada tahun berikutnya melalui industri sokongan.

 

Malaysia sebagai sebuah negara yang telah lama diiktiraf sebagai pengeluar utama semikonduktor dalam rantaian global E&E seharusnya membuat persiapan rapi dari segi pemerkasaan tenaga buruhnya bagi sektor industri ini.

 

Malaysia seharusnya menggunakan potensi ini untuk menarik perdagangan semikonduktor dunia mengalir melalui Malaysia.

 

Selain itu, pembangunan dan penghasilan bakat berkualiti juga akan diutamakan untuk memenuhi permintaan yang dinamik oleh industri agar kedudukan Malaysia sebagai pusat inovasi dan kecemerlangan kekal kukuh.

 

Agensi agensi kerajaan juga disarankan juga untuk mengenal pasti sektor-sektor bersesuaian untuk membentuk asas pertumbuhan bakat pekerja yang mampan, contohnhya melalui program pembangunan vendor tempatan kerana kita juga perlu membuka peluang kepada syarikat dan PKS tempatan untuk menerima manfaat dari perkembangan ekosistem industri E&E Malaysia.

 

Justeru, inisiatif pemulihan ekonomi negara dalam sektor E&E perlu dilipatgandakan bagi membolehkan Malaysia berada pada kedudukan yang kukuh untuk memenuhi pemintaan E&E global termasuklah meningkatkan kebolehan pekerja industri ini.

 

Pembangunan tenaga kerja industri E&E Malaysia perlu disusun secara lebih strategik dan sistematik untuk membentuk satu ekosistem yang kondusif bagi menyokong minat pelaburan luar dan pertumbuhan seterusnya.

 

Ini merupakan usaha yang amat penting kerana melihatkan dua struktur industri ini merupakan bahan asas bagi pelbagai sektor berteknologi tinggi, termasuk kenderaan elektrik (EV) dan sektor berasaskan kecerdasan buatan (AI). Memperkasa pekerja dalam industri ini juga adalah amat penting bagi merealisasikan objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu Negara (New Industrial Master Plan – NIMP) 2030.

 

Produktiviti pengeluaran dan pembuatan harus dipertingkatkan untuk memenuhi keperluan dan memperkukuhkan kedudukan global Malaysia sebagai pengeluar produk E&E utama.

 

Dalam memperkasa kualiti pekerja di dalam sesebuah sektor industri, maklum balas daripada industri amat penting untuk mengenal pasti cabaran yang dihadapi oleh pemain industri yang mengekang operasi perniagaan.

 

Libat urus dengan industri juga memperincikan jalan penyelesaian untuk menangani cabaran yang dikenal pasti dan sama ada campur tangan kerajaan adalah perlu untuk dilaksanakan.

 

Antara cabaran kritikal yang dihadapi oleh sektor E&E adalah dalam pengambilan dan penggajian pekerja. Sektor yang berpotensi tinggi ini mengalami pengurangan pengambilan pekerja baharu pada kadar 70 % dalam tempoh tiga bulan terkini.

 

Situasi ini merencatkan operasi perniagaan. Industri memerlukan sekurang-kurangnya 14,000 pekerja tempatan dan asing, 2,400 jurutera, 1,600 kakitangan sokongan dan 450 ekspatriat untuk memenuhi keperluan tenaga kerja sektor E&E.

 

Keperluan sumber manusia ini disebabkan oleh pembukaan semula aktiviti ekonomi dan pengembangan operasi perniagaan. Industri dan negara akan kehilangan peluang untuk menjana ekonomi dan pendapatan jika kekangan tenaga kerja ini tidak ditangani secara bersepadu dan terancang. - DagangNews.com

 

Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INFINITI

 

dagangnews