IPO Senheng terlebih langganan 10.4 kali | DagangNews Skip to main content

IPO Senheng terlebih langganan 10.4 kali

 

KUALA LUMPUR 12 Jan - Tawaran awam permulaan (IPO) Senheng New Retail Bhd terlebih langganan sebanyak 10.4 kali menjelang penyenaraian kumpulan itu di Pasaran Utama Bursa Malaysia yang dijadual pada 25 Januari 2022.

 

Peruncit elektrik dan elektronik (E&E) pengguna itu menerima sejumlah 16,548 permohonan untuk 343.2 juta saham dengan nilai agregat RM367.3 juta, bagi saham orang awam.

 

Pengerusi Eksekutif Senheng, Lim Kim Heng berkata, langganan luar jangka IPO Senheng menunjukkan keyakinan pelabur kepada rekod prestasi selama 30 tahun syarikat.

 

Beliau berkata, syarikat membina satu daripada jenama runcit terbaik dan paling progresif di Malaysia dengan strategi pertumbuhan mengubah cara membeli-belah pengguna.

 

"Melangkah ke hadapan, kami sedang mengembangkan rangkaian kedai di seluruh negara, meningkatkan pengalaman membeli-belah secara fizikal dan dalam talian serta membawa rangkaian produk berkualiti yang lebih meluas.

 

"Senheng juga akan menaik taraf infrastruktur digital dan keupayaan logistik kami untuk meningkatkan pengalaman runcit yang lancar dalam era digital," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pelaksanaan IPO Senheng membabitkan terbitan awam 250 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan 139.5 juta saham sedia ada pada harga terbitan RM1.07 sesaham, menjadikan permodalan pasarannya bernilai RM1.6 bilion selepas penyenaraiannya itu.


 

Senheng, Lim Kim Heng
                                                   Lim Kim Heng

 


Senheng bercadang menggunakan RM160.5 juta untuk membuka cawangan kedai baharu serta menaik taraf kedai sedia ada kepada kedai berkonsep yang lebih besar dan dipertingkatkan.

 

Syarikat menyasar untuk menaik taraf atau membuka 61 kedai baharu dan sedia ada dari 2022 hingga 2024 untuk meningkatkan pengalaman membeli-belah pelanggan.

 

Sebanyak 19.3% atau RM51.7 juta lagi akan digunakan untuk mengukuhkan kapasiti dan keupayaan bahagian sokongan termasuk membangunkan perniagaan pengedaran jenama baharu, mengembang dan menaik taraf gudang dan rangkaian logistik, serta meningkatkan infrastruktur digitalnya.

 

Baki 20.7% atau RM55.3 juta akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank dan perbelanjaan penyenaraian. - DagangNews.com