Allah mengutuk pemberi dan penerima rasuah, sabda Nabi SAW | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 24 Feb 2023 08:30 AM

Allah mengutuk pemberi dan penerima rasuah, sabda Nabi SAW

 

 

RASUAH berasal daripada perkataan bahasa Arab iaitu ‘al-risywah’. Menurut takrifan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rasuah ialah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun.

 

Pelakuan rasuah bukan hanya menggalakkan pelbagai jenayah lain seperti pelacuran, pemalsuan wang, cetak rompak, penyeludupan dan sebagainya, bahkan bakal mengundang kemurkaan Allah SWT, musibah, bala dan wabak.


 

sprm

 


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)” (Surah al-Baqarah:188).

 

Seterusnya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Kutukan Allah SWT atas pemberi rasuah dan penerima rasuah” (Riwayat Ahmad: 6984 dan Ibnu Majah: 2313).

 

Menurut undang-undang Malaysia yang terkandung dalam Seksyen 3 (a)(b) dan 4 (a)(b), Akta Pencegahan Rasuah 1961 (Pindaan 1971) mentafsirkan rasuah sebagai: “menerima atau memberi apa-apa suapan sebagai dorongan, upah atau galakkan kepada seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan atau untuk tidak melakukan sesuatu perbuatan yang ada hubungan dengan prinsipalnya.”

 

Manakala suapan pula, menurut Seksyen 2, Akta Pencegahan Rasuah 1997 ialah; “Wang, derma, pinjaman, hadiah, cagaran beharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta sama ada alih atau tidak alih atau apa-apa manfaat seumpamanya.”

 

Dr Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan dalam kitab ‘al-Halal wa al-Haram fi al-Islam’ bahawa "Menerima rasuah adalah termasuk kategori memakan harta orang lain dengan cara yang batil seperti wang yang diberikan kepada pihak penguasa atau pegawai supaya menjatuhkan hukuman yang menguntungkan dirinya atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada sesuatu kepentingan dan sebagainya".


 

irsyad

 


Islam sangat tegas dan optimis dalam membanteras gejala rasuah daripada terus berleluasa dan membarah dalam kalangan masyarakat bagi tujuan mewujudkan keamanan dan keharmonian.

 

1 Membentuk dan membina kekuatan nilai agama dalam diri

Setiap pemimpin dan masyarakat perlu memantapkan nilai keimanan terhadap Allah SWT bagi mencegah amalan rasuah.

 

Keyakinan terhadap Allah SWT maha melihat dan maha mengetahui setiap tindakan dan perlakuan manusia perlu disematkan dalam jiwa setiap masyarakat. Justeru, sifat mahmudah (terpuji) seperti integriti dan kejujuran perlu diterapkan dalam kehidupan kerana dinilai oleh Allah SWT.

 

2. Pendidikan berterusan berkaitan bahaya rasuah perlu dipertingkatkan

Para pemimpin dan masyarakat perlu sentiasa diingatkan berkaitan perkara ini sehingga menjadi agenda utama dan penting dalam tindakan.

 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah” (Surah Ali Imran:110).

 

3. Beringat dengan ancaman dan teguran Allah SWT

Sikap takut terhadap azab dan siksaan neraka perlu dihadirkan akibat dosa dan kesalahan rasuah yang dilakukan.  

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan ketaqwaan dan janganlah tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan (melanggar hukum-hukum Allah). Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat berat siksanya” (Surah Al-Maidah: 2).

 

 

irsyad

 


4. Melaksanakan hukuman terhadap pelaku rasuah sebagai pengajaran kepada umum

Pegawai dan penguatkuasa undang-undang perlu melaksanakan tindakan tegas tanpa memilih kasih sama ada yang dilakukan oleh rakyat biasa atau pemimpin negara.

 

Hukuman yang dikenakan adalah bertujuan untuk mendidik dan memberi pengajaran kepada seluruh pemimpin dan masyarakat supaya lebih serius dan waspada terhadap gejala rasuah.

 

Kempen dan bimbingan berterusan berkaitan pencegahan rasuah perlu sentiasa dilaksanakan di pelbagai peringkat dan lapisan usia dalam masyarakat supaya terdorong untuk berhati-hati dan ke arah kebaikan. - DagangNewscom

 

 
 
DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.