Bercakap perkara yang baik, jika tiada lebih baik diam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 08 Dec 2023 07:00 AM

Bercakap perkara yang baik, jika tiada lebih baik diam

 

 

LISAN adalah anggota badan yang perlu diberi perhatian penting, dipelihara dan dikendalikan supaya tetap berada di landasan yang benar sesuai kehendak Islam.

 

Hati dan lisan saling berkaitan serta mempengaruhi amal perbuatan seseorang sama ada baik atau buruk yang dipamerkan dan dizahirkan dalam kehidupan seharian.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak lurus iman seseorang hingga lurus hatinya, dan tidak lurus hati seseorang hingga lurus lisannya.” (Riwayat Ahmad)

 

Nabi SAW pernah menasihati Muadz bin Jabal: “Mahukah aku beritahu kepadamu tentang kunci semua perkara itu? Muadz bin Jabal menjawab: ya, wahai Rasulullah. Maka beliau pun memegang lidahnya dan bersabda, Jagalah ini.  Aku bertanya: Wahai Rasulullah, apakah kami dituntut diseksa kerana apa yang kami katakan? Maka baginda bersabda: Adakah yang menjadikan orang diseret mukanya (atau ada yang meriwayatkan batang hidungnya) di dalam neraka selain ucapan lisan mereka?.” (Riwayat Tirmidzi, no.2616 dan Ibnu Majah, np.3973)

 

Selain itu, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Seorang Muslim adalah seseorang yang orang Muslim lainnya selamat daripada gangguan lisan dan tangannya.” (Riwayat al-Bukhari, no.6484)

 

Sebahagian masyarakat ramai yang tidak tahu atau mungkin menganggap remeh berkaitan adab atau tatacara berbual dengan rakan ataupun orang di sekeliling.


 

parafrasa

 


Terdapat beberapa adab berkaitan lisan yang perlu diambil berat oleh setiap individu sama ada untuk kebaikan diri sendiri atau masyarakat sekeliling iaitu:

 

1. Bercakap yang baik atau diam

Tidak berbicara kecuali dengan perkataan yang boleh mendatangkan kebaikan dan manfaat atau mencegah keburukan bagi dirinya atau orang lain.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Riwayat al-Bukhari)

 

Menurut Imam Syafie dalam menerangkan hadis di atas ialah sekiranya engkau hendak berkata-kata, maka berfikirlah terlebih dahulu, sekiranya yang nampak adalah kebaikan, maka ucapkanlah perkataan tersebut, namun sekiranya yang nampak adalah keburukan atau bahkan engkau ragu-ragu, maka tahanlah dirimu dari mengucapkan perkataan tersebut.

 

2. Bercakap pada waktu dan tempat yang tepat

Mencari waktu yang sesuai untuk bercakap adalah sangat penting sebagaimana kata-kata hikmah yang bermaksud: “Setiap tempat dan waktu ada pembicaraannya tersendiri.”

 

Contohnya, menegur seseorang kerana kelakuan yang tidak sopan ketika imam sedang berkhutbah Jumaat. Walaupun perbuatan menegur itu baik, namun ditegah kerana boleh menghilangkan fokus terhadap khutbah yang disampaikan. Teguran ini dilihat tidak sesuai mengikut tempatnya.

 

Contoh lain pula ialah terdapat seseorang menasihati secara terbuka sehingga menyebabkan pergaduhan dan perasaan malu kepada seseorang di khalayak ramai. Sedangkan Islam menyeru supaya menegur secara hikmah dan bijaksana. Teguran ini dilihat baik, namun tidak sesuai dengan waktu.


 

irsyad

 


3. Melazimi lisan untuk berzikir dan mengingati Allah SWT

Menyibukkan lisan untuk berzikir dengan cara membaca al-Quran, berzikir dan berselawat adalah cara terbaik untuk bercakap baik dan menjaga lisan.

 

Setiap individu perlu melakukan muhasabah dalam sehari berapa jumlah kata-kata telah diucapkan yang tanpa disedari mungkin telah menyakiti orang lain secara langsung ataupun tidak.

 

4. Tidak berlebihan dalam memuji dan mencela

Berlebihan dalam memuji adalah bentuk dari bermuka-muka, manakala berlebihan dalam mencela adalah suatu bentuk dalam mencari permusuhan dan membalas dendam.

 

Sewajarnya, seseorang individu sentiasa bersifat sederhana dalam memuji dan tidak mengeluarkan kata-kata kesat yang boleh mencetuskan situasi dan hubungan yang kurang baik.

 

5. Tidak mengeluarkan kata-kata keji

Perbuatan mengeluarkan kata-kata yang buruk sama ada kepada dirinya, orang lain dan makhluk lain adalah sangat ditegah dan dilarang dalam Islam.

 

Seseorang bukan sahaja ditegah untuk memulakan dengan kata keji, bahkan juga dilarang untuk membalas semula perkataan yang buruk kepada orang yang memulakan.

 

Bersabar dan mengawal emosi adalah langkah dan tindakan yang bijak.


 

irsyad

 


Demikianlah kepentingan menjaga adab dalam berbicara sesama rakan atau dalam keadaan bermasyarakat seharusnya dititikberatkan demi menjaga hubungan persaudaraan dan menghindari kata-kata yang tidak bermanfaat seperti meremehkan atau merendahkan orang. - DagangNews.com

 

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

dagangnews