Islam datang dari Allah, bukan rekaan manusia
SETIAP individu muslim perlu memahami makna serta pengertian Islam dengan baik dan benar agar kehidupan berada dalam keadaan sempurna menjalankan ketaatan kepada Allah SWT sebagai seorang hamba yang patuh dan taat.
Penjelasan dan penerangan berkaitan Islam ini berdasarkan hadis kedua dalam ‘Kitab Matan al-Arbain’ (Hadis 40) karangan Imam al-Nawawi iaitu berkaitan dengan Islam, iman, ihsan dan tanda-tanda kedatangan hari kiamat.
Hadis tersebut menceritakan tentang kedatangan malaikat Jibril yang berjumpa dengan Nabi SAW yang sedang berkumpul bersama para Sahabat untuk mengajarkan berkenaan Islam dan beberapa perkara lain.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “…Wahai Nabi Muhammad! Khabarkanlah kepadaku perihal Islam. Maka Rasulullah SAW menjawab: Islam itu ialah bahawa engkau mengakui tiada tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat, dan engkau puasa bulan Ramadan, dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi mengerjakannya. Dia berkata: Benarlah engkau! Maka kami pun tercengang kerana dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya…” (Riwayat Muslim: no.35)
Islam dari sudut bahasa bermaksud tunduk dan menyerah diri kepada Allah SWT. Manakala menurut syarak pula bermaksud agama yang ditegakkan atas lima asas iaitu melafazkan dua kalimah syahadah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan menunaikan haji ke Baitullah sekali seumur hidup.
Islam adalah agama yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada Rasul-Nya yang menjamin keselamatan dan kebahagiaan hidup bagi penganutnya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.” (Surah Al-Imran: 19)
Berdasarkan ayat di atas, jelas menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang datang dari Allah, bukannya agama rekaan dan ciptaan akal manusia. Sesiapa yang menolak agama Islam serta mengingkarinya akan mendapat kerugian di dunia dan di akhirat.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.” (Surah Al-Imran: 85)
Terdapat lima rukun Islam yang perlu dilakukan untuk menegakkan Islam dalam kehidupan atau untuk dikira sebagai seorang Islam.
1. Melafazkan dua kalimah syahadah
Syahadah adalah pengakuan hati dan keyakinan jiwa terhadap keesaan Allah SWT dan kebenaran Nabi Muhammad SAW sebagai utusan-Nya yang membawa rahmat ke seluruh alam.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “dan tidak Kami utuskan sebelum kamu daripada rasul-rasul melainkan kami wahyukan kepadanya: Sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Aku, maka sembahlah Aku.” (Surah al-‘Anbiya: 25)
2. Mendirikan solat fardu lima waktu
Solat adalah perintah Allah SWT yang diwajibkan setiap hari ke atas muslim yang mesti dilaksanakan pada waktu yang ditentukan dengan syarat dan rukun serta disempurnakan dengan perkara sunat.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-‘Ankabut: 45)
3. Mengeluarkan zakat
Zakat adalah ibadah harta benda yang wajib dari seorang muslim setelah mempunyai harta dengan kadar tertentu dan syarat tertentu.
Keperluan mengeluarkan zakat selalu digandingkan dengan kewajiban mendirikan solat.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.” (Surah al-Baqarah: 110)
4. Menunaikan ibadah puasa
Berpuasa pada bulan Ramadan adalah wajib ditunaikan oleh setiap muslim yang mukallaf mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh syariat Islam.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah: 183)
5. Mengerjakan ibadah haji
Setiap muslim yang cukup syarat wajib mengerjakan haji di Mekah. Kewajipan ini adalah bagi mereka yang mampu menyediakan keperluan dan bekalan untuk bermusafir dan nafkah kepada isteri dan anak-anak yang ditinggalkan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.” (Surah Al-Imran: 97)
Demikianlah lima rukun Islam yang ditegaskan oleh Nabi SAW sebagai tanda membuktikan keislaman seseorang dengan mengamalkan kesemua rukun tanpa terkecuali. - DagangNews.com
PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.