Konflik berdarah Palestin-Israel sudah 7 dekad
KONFLIK antara Palestin dan Israel telah berlarutan lebih tujuh dekad dilihat seolah-olah tidak akan menemui jalan penyelesaian kerana tindak balas negara-negara barat yang berkuasa serta media yang dimanipulasi.
Negara barat telah bersifat hipokrit dan taksub kerana membawa naratif serangan ke atas Israel adalah sebagai pengganas, sedangkan kesalahan negara barat jelas terhadap Hamas dan rakyat Palestin.
Dunia juga menyedari dan menyaksikan hasil kerakusan kuasa besar menempatkan Israel di Palestin berdasarkan Deklarasi Belfour pada 1917 dan akhirnya menjajah dan menjarah setiap inci tanah Palestin.
Menurut catatan sejarah, pada tanggal 14 Mei 1948, Perdana Menteri pertama Israel, iaitu David Ben Gurion mengadakan upacara di Tel Aviv untuk mengisytiharkan kelahiran negara baharu Israel di Palestin.
Seterusnya, pada tanggal 15 Mei 1948, kerajaan Israel berjaya mendirikan negara Yahudi di bumi Palestin dengan pertolongan kuasa besar, iaitu British dan Amerika Syarikat (AS) yang memainkan peranan utama.
Selain itu, terdapat beberapa buah negara lagi seperti Soviet Union, Poland dan Ireland turut mengiktiraf dan menyokong pembentukan negara Israel di Palestin.
Kesan kekalahan kerajaan Turki Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918) menyebabkan Palestin diletakkan di bawah mandat British kemudian diserahkan kepada Israel untuk mendirikan negara Yahudi.
Bermula dari peristiwa tersebut, pertempuran telah meletus antara tentera Zionis Israel dengan pejuang Palestin dan Arab yang berlangsung sekian lama sehingga tercetus Perang Israel-Arab.
Akibat Perang Israel-Arab atau Perang Enam Hari yang berlaku pada 1967 itu membawa kepada penaklukan Israel di wilayah Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan Timur Baitulmaqdis sehingga membawa kepada rampasan tanah di wilayah terbabit untuk penempatan penduduk Yahudi.
Masyarakat Islam sewajarnya mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya serangan dan pencerobohan tanpa perikemanusiaan rejim Zionis Israel ke atas bumi Palestin yang telah berlaku sekian lama.
Tindakan tersebut bukan sahaja tidak berperikemanusiaan, malah mencabuli hak rakyat Palestin yang akhirnya menyaksikan banyak nyawa tidak berdosa termasuk golongan kanak-kanak turut menjadi korban.
Umat Islam perlu menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan semua kesatuan negara lain untuk memberi tekanan terhadap Israel demi membebaskan Palestin daripada penaklukan haram Zionis, sekali gus mengambil tindakan tegas bagi menghentikan kekejaman dilakukan rejim Zionis Israel ke atas bumi Palestin.
Allah SWT telah menyeru kepada orang-orang yang beriman sepanjang zaman untuk bangkit melakukan jihad.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apakah yang menghalang kalian untuk tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk membela) orang-orang yang lemah baik daripada kalangan lelaki, mahupun kalangan perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: ‘Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, di mana penduduknya (kaum kafir Musyrik) yang berlaku zalim, dan jadikanlah bagi kami pelindung di sisi-Mu, dan jadikanlah bagi kami penolong di sisi-Mu (yang membela kami dari ancaman musuh).
"Orang-orang yang beriman itu, mereka berperang pada jalan Allah; dan sebaliknya orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan taghut (syaitan). Oleh sebab itu, perangilah kalian akan pengikut-pengikut syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.” (Surah al-Nisa’: 75-76)
Walaupun ‘asbab al-nuzul’ (sebab penurunan) ayat di atas berkaitan peristiwa yang berlaku pada awal Islam, tetapi para ulama menegaskan bahawa petunjuk daripada ayat tersebut menunjukkan hukum yang mewajibkan jihad.
Ini adalah berdasarkan kepada sebab yang sama dan hukum wajib itu tetap berterusan apabila wujudnya ancaman daripada musuh di mana-mana tempat dan pada bila-bila masa sahaja.
Ayuh seluruh umat Islam di seluruh dunia bersama bermunajat kepada Allah SWT untuk kesejahteraan umat Islam di Palestin dan bersama-sama meneruskan bantahan sebagai tanda solidariti dan sokongan.
Doa adalah senjata yang paling kuat dan ampuh terutama bagi orang yang tertindas khususnya seluruh rakyat di bumi Palestin sebagai cara mencari keadilan dan perlindungan Allah SWT.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawa Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka itu mematuhi (perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku agar mereka sentiasa berada dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah: 186)
Panjatkanlah doa dan teguhkan sokongan kepada umat Islam di Palestin supaya penderitaan dan penindasan ini digantikan dengan cahaya keamanan dan keadilan agar kembali menyinari bumi Palestin. - DagangNews.com
PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD