Memuliakan Nuzul al-Quran di bulan Ramadan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 07 Apr 2023 07:00 AM

Memuliakan Nuzul al-Quran di bulan Ramadan

 

 

Allah SWT telah memilih bulan Ramadan untuk berlaku peristiwa Nuzul al-Quran yang menunjukkan kelebihan bulan yang mulia dan berkat kerana telah digandingkan dengan al-Quran.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan padanya al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil)…” (Surah al-Baqarah: 185)

 

Seterusnya, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kamilah yang memberikan peringatan.” (Surah al-Dukhan: 3)


 

tnb

 


Nuzul bermaksud turun atau berpindah, manakala al-Quran bermakna bacaan atau himpunan. Al-Quran dikatakan sebagai bacaan kerana untuk dibaca oleh umat Islam.

 

Manakala dikatakan himpunan kerana terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal akidah, ibadah, jenayah, muamalah, munakahat dan sebagainya.

 

Al-Quran diturunkan oleh Allah SWT pada 17 Ramadan yang disebut lailatulqadr (malam al-qadr) iaitu diturunkan al-Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia sekali gus (30 juzuk) dan secara beransur-ansur mengikut suasana dan keperluan kepada Nabi SAW.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami(Allah) telah menurunkan al-Quran pada lailatulqadr.” (Surah al-Qadr: 1)

 

Lailatulqadr dikurniakan oleh Allah SWT pada setiap bulan Ramadan dengan kelebihan dan kemuliaan adalah lebih baik dari 1,000 bulan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Malam Qadar itu adalah lebih baik dari seribu bulan.” (Surah al-Qadr: 3)

 

Terdapat pelbagai fungsi dan peranan al-Quran dalam kehidupan seharian manusia  yang sewajarnya disedari dan difahami dengan jelas supaya memberi kebaikan dan manfaat.


 

ninot aziz

 


Antaranya ialah:

 

1. Memberi petunjuk dalam pelbagai persoalan kehidupan manusia

Al-Quran memberi panduan mengenai dasar utama dan asasi persoalan dalam setiap bidang kehidupan.

 

Al-Quran merupakan manual kehidupan dan kitab petunjuk ke jalan yang terbaik sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar” (Surah al-Isra: 9).

 

2. Menjadi penyembuh terhadap penyakit manusia

Al-Quran boleh menyembuhkan hati manusia dan mendatangkan rahmat bagi orang beriman. Wujud dua jenis penyakit pada manusia iaitu penyakit hati dan akhlak ‘mazmumah’ (tercela).

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang yang zalim selain kerugian" (Surah al-Isra’: 82).

 

3. Memberikan nasihat dan ibrah (pengajaran)

Nasihat yang terkandung dalam al-Quran adalah berisikan anjuran melaksanakan  ketaatan dan kebaikan. Manakala anjuran untuk mengambil ibrah adalah melalui kisah-kisah umat terdahulu yang telah dijelaskan Allah SWT dalam al-Quran.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman” (Surah Yusuf: 111).


 

ninot aziz

 


Demikianlah fungsi dan peranan al-Quran yang perlu diterapkan dan diamalkan di dalam kehidupan manusia supaya beroleh kebaikan dan kejayaan hidup di dunia dan akhirat.

 

Usaha untuk mendidik dan mengajar masyarakat Islam supaya berinteraksi dengan al-Quran perlu dilakukan secara berterusan di pelbagai peringkat usia melibatkan kerjasama pihak kerajaaan, swasta, institusi masjid, institusi pendidikan dan sebagainya. - DagangNews.com

 

DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM)Shah Alam, Selangor.

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD