Puasa adalah perisai bagi seseorang Muslim
MASYARAKAT Islam kini sudah berada di penghujung Ramadan yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk melabuhkan tirai. Namun amat penting bagi setiap individu muslim untuk melakukan muhasabah keberkesanan ibadah puasa.
Puasa adalah umpama pusat latihan untuk mendidik jiwa, membersihkan hati serta meluruskan perilaku di samping menyuburkan sifat-sifat terpuji dan menghapuskan sifat-sifat keji.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Puasa itu adalah perisai.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadis tersebut, Nabi SAW ingin memberitahu bahawa dengan berpuasa seseorang itu dapat melindungi diri daripada melakukan kejahatan dan segala keburukan zahir dan batin.
Para ulama turut menjelaskan bahawa perisai ialah puasa itu menjadi benteng daripada segala runtunan syahwat dan kejahatan.
Terdapat pelbagai makna dan maksud perisai yang boleh difahami seperti yang telah dijelaskan oleh para ulama:
1. Membenteng diri dari gejolak syahwat untuk melakukan kejahatan zina
Perbuatan zina perlu dihindari kerana termasuk dalam salah satu dosa besar di sisi Allah SWT.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu (pembiayaan) berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin). Dan sesiapa yang belum mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya (dalam membendung syahwat).” (Riwayat al-Bukhari: no.5065 dan Muslim: no.3466)
2. Membenteng diri dari melakukan tingkahlaku keji, bersikap dungu dan jahil
Perbuatan negatif tersebut boleh menjejaskan imej dan ketrampilan seseorang individu muslim.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Puasa itu perisai, maka apabila seseorang berpuasa, maka tidak akan melakukan perkara keji dan tidak bersikap jahil (bergaduh).”
3. Membenteng diri dari melakukan maksiat dan perkara haram
Allah SWT menempelak dan tidak berhajat kepada golongan yang bersikap sedemikian.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya”. (Riwayat al-Bukhari: no.1770).
4. Membenteng diri dari perkara yang merendahkan darjat di dunia dan mendapat kehinaan di akhirat
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Puasa itu adalah perisai dan pendinding daripada api neraka.” (Riwayat Ahmad)
5. Membenteng diri dari azab api neraka
Puasa adalah untuk melahirkan manusia yang bertaqwa. Tiada balasan yang paling besar bagi orang bertaqwa melainkan dijauhkan daripada azab api neraka.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah seorang hamba yang berpuasa di jalan Allah kecuali akan Allah jauhkan dia (karena puasanya) dari neraka sejauh tujuh puluh musim” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Selain itu, Nabi SAW turut bersabda yang bermaksud: “Rabb kita ‘azza wa jalla berfirman, Puasa adalah perisai, yang dengannya seorang hamba membentengi diri dari api neraka, dan puasa itu untuk-Ku, Aku-lah yang akan membalasnya” (H.R. Ahmad, shahih).
Demikianlah, antara hikmah diwajibkan berpuasa kepada orang beriman supaya menjadi perisai yang melindungi seorang di dunia dan di akhirat. Perlindungan di dunia daripada maksiat, perlindungan di akhirat daripada azab.
Doa dipanjatkan kepada Allah SWT supaya dipemudahkan untuk menyempurnakan ibadah puasa, meraih banyak pahala dan pelbagai keutamaan di dalam bulan Ramadan. - DagangNews.com