Raih keampunan di bulan Ramadan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 15 Mar 2024 07:00 AM

Raih Keampunan di Bulan Ramadan

 

 

Bulan Ramadan adalah suatu bulan yang Allah SWT beri ruang dan peluang seluas-luasnya kepada semua hambaNya diampunkan segala dosa dan kesalahan yang telah dilakukan dalam kehidupan.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap anak keturunan nabi Adam banyak melakukan dosa dan sebaik-baik orang yang banyak melakukan dosa adalah orang yang banyak bertaubat.” (Riwayat Ibnu Majah)

 

Hadis Nabi SAW di atas dapat melegakan dan melapangkan jiwa yang tidak tenteram kerana dosa yang telah dilakukan selama ini dalam kehidupan.

 

 

irsyad

 

 

Sekiranya seseorang yang hidup sering melakukan dosa dan kemudian diri berasa ada sesuatu yang tidak kena dalam hidup, maka individu tersebut perlu kembali ke pangkal jalan yang merupakan nikmat daripada Allah SWT.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Oleh itu tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon keampunannya (sesudah mereka mendengar keterangan-keterangan tentang kepercayaan mereka yang salah dan balasan seksanya)? Padahal Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ma’idah: 74)

 

Allah SWT sahaja yang mampu membuka pintu hati manusia untuk kembali kepada-Nya. Sekiranya ada dosa yang telah dilakukan sebelum ini, maka kehadiran Ramadan perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk meraih keampunan daripada Allah SWT.

 

Ibadah puasa yang berkualiti akan menjadi sebab untuk mendapat keampunan daripada Allah SWT.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud:  “Sesiapa yang berpuasa dengan keimanan dan ingin mendapat pahala, maka diampuni semua dosanya yang telah lalu.”  (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

Seterusnya, Nabi SAW menjelaskan keistimewaan beribadah pada malam-malam di bulan Ramadan akan diampunkan dosa menerusi hadis yang bermaksud:  “Sesiapa menunaikan solat malam pada bulan Ramadan dengan keimanan dan ingin mendapat pahala, maka diampuni semua dosanya yang telah lalu.”  (Riwayat Muslim)

 

 

irsyad

 

 

Selain itu, ganjaran pahala bagi orang yang bersedekah cukup ISTIMEWA kerana melibatkan ganjaran keampunan daripada Allah SWT. Sesungguhnya setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa dan kesilapan. Maka amalan sedekah sangat hampir dengan keampunan Allah SWT.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Mahukah aku (Rasulullah) tunjukkan kepadamu pintu-pintu kebaikan? Puasa adalah perisai. Bersedekah itu menghapuskan kesalahan sebagaimana air memadamkan api.”  (Riwayat al-Tirmizi)

 

Bulan Ramadan adalah peluang bagi masyarakat Islam meraih keampunan daripada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT membuka ruang keampunan dan sangat rapat dengan hamba-Nya pada bulan Ramadan.

 

Demikianlah, Allah SWT memiliki sifat Maha Pengampun yang telah menjadikan Ramadan sebagai landasan dan medium yang penuh dengan peluang keemasan untuk setiap orang berusaha mendapat keampunan daripada-Nya.

 

 

irsyad

 

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”  (Surah al-Zumar: 53)

 

Masyarakat Islam disarankan dan dianjurkan merebut peluang di bulan Ramadan yang cukup luas untuk memohon keampunan dari segala dosa yang lepas dan mendapat keampunan daripada-Nya. - DagangNews.com

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

 

dagangnews