Rebutlah ganjaran besar di bulan Ramadan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 24 Mar 2023 07:00 AM

Rebutlah ganjaran besar di bulan Ramadan

 

 

RAMADAN dikenali sebagai bulan yang agung dan juga sebagai bulan yang penuh berkat.

 

Keagungan dan keberkatan yang menghiasi bulan Ramadan yang menyebabkan bulan Ramadan selalu dinanti-nantikan ketibaannya oleh umat Islam.

 

Lantaran keagungan dan keberkatan yang wujud dalam bulan Ramadan ini, maka umat Islam dianjurkan untuk bersungguh-sunguh meraih segala ganjaran kebaikan yang terdapat di dalamnya.

 

Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan ganjarannya), maka akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu’ (Riwayat al-Bukhari, no.38; Muslim, no.760)

 

Selain itu, Nabi SAW turut bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mendirikan solat di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, maka akan diampunkan segala dosa yang telah lalu.” (Riwayat al-Bukhari, no.36).


 

irsyad

 


Berdasarkan dua hadis di atas, terdapat pelbagai pengajaran dan hikmah yang boleh difahami untuk diterapkan dan diaplikasikan dalam kehidupan di sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan:

 

1. Solat Sunat

Kelebihan berpuasa dan mendirikan solat sunat di malam hari pada bulan Ramadan akan mendapatkan keampunan dari Allah SWT terhadap dosa-dosa terdahulu.

 

Seterusnya menunjukkan betapa luas rahmat Allah SWT ke atas hambaNya. Allah SWT memberi dan membuka seluas-luasnya peluang keampunan kepada seluruh hambaNya.

 

Keampunan yang dimaksudkan ialah Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kecil sahaja yang bukan dosa-dosa besar dengan syarat bertaubat sebagaimana pandangan majoriti para ulama. Terdapat juga sebahagian ulama mengatakan dosa-dosa besar juga turut diampunkan Allah SWT.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh syarat wajib ibadah puasa

 

2. Pengampunan Ilahi

Bukti bahawa setiap individu walaupun orang soleh dan bertaqwa tidak terlepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan dalam perkara maksiat dan kejahatan.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui”. (Surah Ali-‘Imran: 135)

 

3. Taat beribadah

Allah SWT juga menjelaskan bahawa ketaatan melaksanakan ibadah dan mendekatkan diri kepadaNya adalah sebab diangkat kemuliaan seseorang hamba.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah ialah yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Hujurat: 13)


 

irsyad

 


4.  Ihtisab

Pelaksanaan ibadah perlu disertai dengan ‘ihtisab’ dan ikhlas kerana Allah SWT semata-mata. Ibnu Battal dalam Syarah al-Bukhari telah menjelaskan bahawa hadis berikut adalah dalil jelas bahawa amal soleh tidak akan bersih dan diterima melainkan dengan ihtisab dan niat yang benar.

 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Setiap amalan dinilai berdasarkan niat, dan setiap orang diterima amalan berdasarkan niatnya.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

 

Amalan yang diterima Allah SWT ialah amalan yang dilakukan dengan niat yang betul, mengharap ganjaranNya dan memiliki sifat ketamakan untuk mengejar redha Allah serta syurgaNya.

 

Al-Aini RA dalam kitabnya ‘Umdatul Qari’ menghuraikan maksud ‘ihtisab’ ialah seseorang berpuasa untuk mendekatkan diri kepada Allah dan niat merupakan syarat untuk mencapai tujuan taqarrub tersebut.

 

5. Mendirikan solat

Maksud orang yang mendirikan Ramadan (di malam hari) ialah melakukan apa sahaja amalan-amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Manakala amalan yang paling utama di sini ialah mendirikan solat.

 

Jika seseorang mendirikan solat tarawih sahaja tanpa solat-solat lain, maka termasuk dalam maksud ini. Apatah lagi, jika seseorang itu menghidupkan malam-malam Ramadan dengan solat-solat malam, maka besarlah ganjarannya.


 

irsyad

 


Demikianlah, dua hadis di atas telah menerangkan bahawa puasa dan solat merupakan sebaik-baik ketaatan dan amalan di bulan Ramadan.

 

Ibadah puasa dan solat juga merupakan amalan yang paling baik bagi hambaNya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.  - DagangNewscom

 

DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD