Tiga perkara mudah sebagai pengisian amalan di bulan Ramadan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 08 Mar 2024 07:00 AM

3 Perkara Mudah Sebagai Pengisian Amalan di Bulan Ramadan

 

 

 

BULAN Ramadan 1445H bakal menjelma sekali lagi pada tahun ini.

 

Masyarakat Islam diwajibkan berpuasa selama sebulan penuh di bulan Ramadan dengan ganjaran pahala yang dilipatgandakan.

 

Golongan beriman bergembira dengan kehadiran bulan Ramadan yang bakal menjelma lantaran tawaran yang lumayan dan istimewa dari Allah SWT.

 

Sebaliknya golongan munafik pula wujud rasa gelisah dan buntu dengan kehadiran Ramadan.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Allah SWT naungkan kepada kamu dengan berlabuhnya bulan Ramadan ini dengan Rasulullah bersumpah: Tiadalah berlalu ke atas orang Islam bulan yang lebih baik bagi mereka daripada bulan Ramadan dan tidaklah kepada munafiq itu lebih teruk daripada bulan Ramadan. Sesungguhnya Allah menulis pahala ganjarannya sebelum menjelmanya bulan dan juga menulis dosa serta kehinaan sebelum masuknya bulan Ramadan” (Riwayat Ahmad: no.8870).

 

 

irsyad

 

 

Bulan Ramadan umpama sebuah pusat latihan yang mempunyai program atau aktiviti yang khusus melalui amalan soleh untuk melatih mencapai sebuah kejayaan iaitu darjat ketaqwaan di sisi Allah SWT.

 

Terdapat beberapa program atau amalan soleh yang perlu dilaksanakan dan ditempuhi sepanjang tempoh Ramadan supaya mampu melahirkan individu yang bertaqwa dan mendatangkan keberkatan dalam kehidupan.

 

1. Memastikan kualiti dan mempertingkatkan amalan solat

Solat menurut bahasa mengandungi pelbagai pengertian iaitu doa atau permintaan hamba kepada Allah SWT. Selain itu, juga bermaksud hubungan iaitu suatu amalan menghubungkan antara hamba dengan Allah SWT.

 

Masyarakat Islam dianjurkan mengambil peluang di bulan Ramadan untuk mempertingkatkan ibadah solat dalam kehidupan seharian supaya dapat memastikan ingatan dan hubungan berterusan dengan Allah SWT.

 

Pelaksanaan solat bukan sekadar terhad mendirikan solat fardu lima waktu sahaja, bahkan perlu ditambah dengan ibadah solat sunat yang lain seperti solat sunat rawatib, solat tarawih, solat dhuha, solat mutlak, solat tahajjud, solat witir dan sebagainya.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah seorang hamba Muslim mengerjakan solat kerana Allah SWT dalam satu hari dua belas rakaat sebagai tathawwu’ (sunat) dan bukan fardu, melainkan Allah SWT akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga.” (Sahih Muslim, no.728)

 

Nabi SAW turut bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mendirikan solat di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, maka akan diampunkan segala dosa yang telah lalu.” (Riwayat al-Bukhari, no.36)

 

 

irsyad

 

 

2. Bermuamalah dan menjalinkan hubungan dengan al-Quran

Nabi SAW, para Sahabat dan salafussoleh telah berinteraksi dengan al-Quran melalui tiga cara iaitu pembacaan, pemahaman dan pengamalan.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (Surah al-Baqarah: 185)

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Jibril akan mengulang bacaan al-Quran bersama Nabi SAW pada setiap tahun sekali dan ketika tahun kewafatan Nabi SAW, Jibril mengulangnya sebanyak dua kali.” (Riwayat al-Bukhari, no.4998)

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan ‘Alif+Lam+Mim’ satu huruf akan tetapi ‘Alif’ satu huruf, ‘Lam’ satu huruf dan ‘Mim’ satu huruf.” (Riwayat al-Tirmizi, no.2910)

 

Selain itu, firman Allah SWT yang bermaksud: “Inilah sebuah kitab yang kami turunkan kepada kamu dengan penuh berkat supaya mereka memerhatikan ayat-ayatnya (tadabbur) dan supaya orang yang mempunyai akal fikiran mengambil pelajaran daripadanya.” (Surah Sad: 29).

 

Al-Quran bukan sekadar perlu dibaca, malah difahami dan diamalkan dalam kehidupan. Membaca al-Quran tanpa memahami maksud tetap diberikan ganjaran pahala.

 

Namun, membaca al-Quran dengan bertadabbur jauh lebih baik berbanding membaca sahaja.

 

 

irsyad

 

 

3. Melazimkan diri, memperbanyakkan amalan sedekah dan infak

Nabi SAW banyak bersedekah pada bulan Ramadan menunjukkan terdapat kelebihan yang tersendiri berbanding bulan yang lain.

 

Kedermawanan Nabi SAW di bulan Ramadan digambarkan dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Adalah Nabi SAW seorang yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan ketika Jibril AS bertemu dengannya. (Riwayat al-Bukhari, no.3554)

 

Nabi SAW turut memberi makan dengan menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang lain.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka buat orang yang berpuasa, maka dia mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan tidak dikurangkan sedikitpun dari pahala orang yang berpuasa itu.” (Riwayat al-Tirmizi, no.807)

 

 

irsyad

 

 

Demikianlah langkah persediaan amalan yang boleh diusahakan dan dilakukan oleh masyarakat Islam dalam mengharungi ibadah sepanjang bulan Ramadan pada tahun ini supaya mendapat keredaan Allah SWT.

 

Semoga amalan ibadah dalam bulan Ramadan yang dilakukan pada tahun ini bertambah baik dan wujud peningkatan kualiti untuk dipersembahkan kepada Allah SWT pada hari akhirat kelak.- DagangNews.com

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

 

dagangnews