Tujuh Panduan Hiburan dalam Islam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 03 Nov 2023 07:00 AM

Tujuh Panduan Hiburan dalam Islam

 

ISLAM adalah agama yang sesuai dengan fitrah semulajadi manusia yang memerlukan hiburan dalam kehidupan seharian.

 

Pada dasarnya, Islam tidak menyekat atau menghalang mencari hiburan selagi tidak bertentangan dengan batas syarak dan tidak lalai daripada melaksanakan perintah tuntutan agama.

 

Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Suatu hari Abu Bakar RA datang melawatnya pada hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha, dan Nabi SAW ada bersamanya pada hari itu, bersama Aisyah juga ada dua orang penyanyi wanita yang sedang menyanyikan lagu kaum Ansar tentang hari Bu’ath, maka Abu Bakar pun berkata “seruling syaitan” sebanyak dua kali, maka Nabi SAW pun berkata” biarkan mereka berdua wahai Abu Bakar, sesungguhnya bagi setiap kaum ada hari perayaan, dan hari ini merupakan hari raya bagi kita.” (Riwayat al-Bukhari, no.3931 dan Muslim, no.892)

 

Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya bertajuk ‘al-Halal wa al-Haram fi al-Islam’ menyatakan bahawa hiburan adalah diharuskan kerana boleh menggembirakan hati, merehatkan minda, menyenangkan jiwa dan menyedapkan pendengaran dengan syarat tidak dicampuri kata-kata kotor, keji atau yang boleh menimbulkan perbuatan dosa.

 

 

irsyad
Seorang pemuzik jalanan di Maghribi. - Gambar Aziz Acharki 

 

 

Terdapat panduan dan bimbingan yang telah ditetapkan oleh Islam kepada masyarakat yang boleh diaplikasikan dalam berhibur mengikut kehendak syarak untuk mencegah dari berlaku kemungkaran:

 

1. Tiada kiasan, cercaan

Mengawal skrip dan lagu tidak mempunyai perkataan dan kiasan yang boleh menjurus ke arah bertentangan dengan aqidah dan menghina Islam seperti mencerca syariat, menghina Nabi SAW, memperlekehkan para Sahabat, meragui hari kiamat dan pembalasan dosa pahala juga tiada unsur memuja atau taksub kepada wanita.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang (Aku sengaja sembunyikan masa datangnya) supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang ia usahakan. Maka janganlah engkau dihalangi daripada mempercayainya oleh orang yang tidak beriman kepadanya serta ia menurut hawa nafsunya; kerana dengan itu engkau akan binasa. (Surah Taha: 15-16)

 

2. Tidak membawa kelalaian

Memantau persembahan atau konsert yang dijalankan hendaklah tidak berlebih-lebihan sehingga hak-hak Allah dan kewajipan utama yang lain terabai seperti menunaikan ibadah, hak mencari dan memberi nafkah, menuntut ilmu dan sebagainya.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah ada diantara orang Muslim jika tiba waktu solat wajib, lalu dia membaguskan wuduknya, kekhusyukannya, dan ruku'nya melainkan solat itu menjadi penebus dosa-dosa sebelumnya, selagi dia tidak mengerjakan dosa besar, dan itu berlaku selamanya.” (Riwayat Muslim)

 

3. Tiada unsur maksiat, lagha

Meneliti senikata, lagu dan nyanyian yang disampaikan tidak mempunyai unsur maksiat, ‘lagha’ (sia-sia), meransang keghairahan nafsu dan sebagainya menerusi tema-tema cinta yang melampau, luahan perasaan dan kerinduan yang berlebihan kepada manusia sehingga mendorong pendengar dan remaja kepada melakukan maksiat dan dosa.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apabila mereka mendengar perkataan yang sia-sia (lagha), mereka berpaling daripadanya.” (Surah al-Qasas: 55)

 

4. Muzik melampau

Memastikan lagu dan nyanyian yang didendangkan tidak diiringi atau dialunkan dengan instrumen atau alat muzik dan bunyian yang melampau seperti irama rock keras.

 

Kesannya, menyebabkan penonton dan pendengar mengikut rentak dengan melompat-lompat, menjerit dan bersorak sehingga menjejaskan atau merosakkan akhlak dan adab serta mendatangkan fitnah kepada agama bangsa dan diri sendiri.

 

5. Jaga aurat

Memastikan penyanyi, penari, pembuat persembahan dan penonton yang hadir hendaklah menjaga aurat serta pemakaian yang sopan dalam khalayak yang ramai.

 

Seterusnya, tidak melakukan lenggokan gerak badan yang memberahikan atau pun mempersembahkan nyanyian dengan suara lucah yang menyebabkan fitnah dan rangsangan nafsu kotor dikalangan pendengar atau penonton. Sekalipun lagu dan senikata yang disampaikan adalah baik, namun tetap menjadi haram.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan”. (Surah al-A’raf: 26)

 

6. Membataskan lelaki dan wanita

 memastikan tiada percampuran di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram di satu tempat tanpa sekatan dan had hingga membawa kepada bersentuhan antara lelaki wanita ajnabi (asing), tiada majlis tari-menari, tidak berlakunya acara minum arak, pertaruhan judi, tiada drama dan lakonan-lakonan liar dan seumpamanya.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sekiranya ditikam di kepala seseorang kamu dengan sebatang besi, adalah lebih baik baginya dari menyentuh kulit wanita yang tidak halal untuk disentuh”. (Riwayat al-Baihaqi)

 

7. Artis lelaki

Memastikan penyanyi atau pembuat persembahan tersebut hendaklah dalam kalangan lelaki jika penontonya terdiri daripada khalayak lelaki dan wanita di sesuatu tempat.

 

Jika persembahan tertutup dan semua yang berkait dengannya adalah wanita maka dibolehkan penyanyi itu dalam kalangan wanita. Ini adalah bagi mengelak segala fitnah dan punca kerosakan dari suara wanita dan pergerakan manja wanita yang menggoda.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka janganlah kamu wahai wanita berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).” (Surah al-Ahzab: 32)

 

 

irsyad
Pemuzik di Doha, Qatar. - Gambar Asim Z Kodappana

 

 

Demikianlah, hiburan bukanlah suatu perkara yang boleh dihukumkan sebagai harus secara mutlak atau pun diharamkan secara mutlak.

 

Namun, keharusan yang dibenarkan pula menetapkan syarat dan panduan yang perlu dipatuhi.

 

Secara tegas, para ulama terdahulu mahupun kini bersepakat berkaitan pengharaman setiap hiburan yang mengandungi unsur-unsur yang jelas haram seperti menggalakkan zina, dorongan meminum arak, tarian mengghairahkan dan lirik yang mendorong kepada keganasan.   - DagangNews.com

 

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

dagangnews