Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Dari Hikayat Kita - 2 April 2022

Kedutaan Itali tertarik dengan puisi Melayu

 

 

 

TIGA puluh tahun yang lampau, saya mempelajari dua bahasa tambahan di universiti iaitu Bahasa Perancis dan Bahasa Itali. Ia amat menyeronokkan dan sehingga hari ini saya terkenang Profesor bahasa Perancis saya, Vincent Basseville di Canada dan Michelle Tu di Alliance Francaise Kuala Lumpur.

 

Walaupun saya tidak lagi dapat menggunakan kedua bahasa dengan baik, saya sentiasa cuba membaca puisi dalam Bahasa Perancis dan Itali supaya tidak terus kehilangan.

 

Pada tahun 2019, saya dijemput untuk menyampaikan satu pembentangan mengaitkan Dunia Melayu dan Leonardo Da Vinci di suatu majlis anjuran Balai Seni Visual Negara dan Kedutaan Itali bersempena 500 tahun Da Vinci.

 

 

ninot

 

Saya sempat berbual dengan Atase Kebudayaan dari Kedutaan Itali di Malaysia, Eliana Salvi dan cuba menggunakan bahasa Itali yang telah lama pudar!

 

Selepas itu, pihak Kedutaan Itali menjalankan satu projek diilhamkan oleh karya Dante, The Divine Comedy dan ingin mencari puisi cinta dalam Bahasa Melayu dalam  dua kategori - puisi klasik dalam bentuk pantun, gurindam dan syair dan juga puisi kontemporari atau sajak. 

 

Mereka menghubungi saya dan saya berkongsi sedikit sebanyak dan menghantar beberapa pantun dan puisi.

 

Saya katakan pantun kekal relevan hingga hari ini tetapi syair lebih popular untuk mengisahkan  legenda lama seperti Syair Siti Zubaidah dan Syair Bidasari.

 

Pantun ialah sejenis puisi Melayu yang mungkin terdapat dalam dua, empat, lapan atau dua belas baris tradisional yang mana pantun empat baris paling popular. 

 

Ia adalah satu bentuk pantun tertua dari Kepulauan Melayu atau Nusantara dan boleh didapati dalam bentuk pantun nasihat, cinta, jenaka, teka-teki, pantun kanak-kanak dan banyak lagi.

 

 

italy

 

Contoh-contoh pantun klasik tentang cinta yang saya kongsikan - nampak ringkas tetapi kekal abadi dan menawan hati. 

 

Pantun klasik agak sukar untuk diterjemahkan, kerana metafora dalam dua baris pembayang biasanya berdasarkan pemerhatian budaya. 

 

PANTUN KLASIK

   Nasi lemak buah bidara

  Sayang selasih hamba lurutkan

  Buang emak buang saudara

  Kerana kasih hamba turutkan

 

Delicious offerings in hand
Fragrant basils, picked in the garden

Forsaking mother and homeland

In pursuit of this love, so forbidden

 

Jikalau tidak kerana bintang

 Masakan bulan terbit tinggi?

Jikalau tidak kerana abang

 Masakan saya datang ke mari

 

If it were not for the stars above
The moon would not hang so high
If it were not for you, my love

I would not have ventured nigh

 

Tuai padi antara masak

Esok jangan layu-layuan

Intai kami antara nampak

Esok jangan rindu-rinduan

 

Harvest the paddy before it ripens
As tomorrow it may all wither
Exchange glances now between us

As tomorrow, we may miss one another

 

Puisi Allahyarham Sasterawan Negara, Datuk Dr Usman Awang, Prof Muhammad Haji Salleh, Hamka berserta puisi saya “Tatkala Bersama Mu” dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Perancis, Inggeris dan tentu sekali, Bahasa Itali.

 

 

Allahyarham Sasterawan Negara, Datuk Dr Usman Awang
Allahyarham Sasterawan Negara, Datuk Dr Usman Awang

 

Legenda berdasarkan cinta ditulis dalam bentuk syair juga saya kongsikan bersama Kedutaan Itali.

 

Beberapa contoh ialah Syair Ken Tambuhan, Syair Bidasari dan Syair Siti Zubaidah yang mengandungi lebih 4,000 rangkap syair. 

 

Beberapa kegemaran peribadi ialah Panji Semirang - Cinta antara Galuh Chendera Kirana dan Raden Inu Kertapati serta kisah Walinong Sari dan Putera Kayangan Amar Segara.

 

Pihak Kedutaan begitu berterimakasih dan baru-baru ini saya menerima berita bahawa projek ini telah membawa pelajar Universiti Malaya dan Hanoi University bersama mengenal karya Bahasa Melayu.

 

Puisi Datuk Dr Usman Awang berjudul Kekasih dan juga Tatkala Bersama Mu telah diterjemahkan oleh pelajar universiti di Malaysia dan Vietnam ke Bahasa Itali dan Vietnam dalam usaha pertukaran budaya pihak Kedutaan Itali.

 

Akhirnya, pada tahun ini, pihak Kedutaan, Tamara Boscia menghantar petikan puisi saya dibaca dan diterjemahkan dalam Bahasa Vietnam di minit 43.11 di sini:

Hanoi University and Universiti Malaya: Settimana della lingua italiana nel mondo 2021 - YouTube

 

Pada hujung tahun ini pula, pihak Kedutaan ingin menterjemah beberapa kisah Hikayat yang telah saya karangkan dalam Bahasa Melayu ke Bahasa Itali.

 

Sebenarnya dunia telah lama mengiktiraf Bahasa Melayu di persada antarabangsa. Dari lingua franca di Dunia Alam Melayu hingga kini Bahasa Melayu diiktiraf sebagai 10 bahasa yang paling digunakan di dunia.

 

Dari interaksi saya bersama Kedutaan Itali yang kecil ini pun, kita lihat bagaimana dunia mengiktiraf Bahasa Melayu sebagai satu bahasa indah, relevan dan patut diperkasa sebagai warisan dunia. Banggalah dengan Bahasa Kebangsaan kita.

 

Jika bukan kita, siapa lagi!

 

 

KEKASIH

Oleh Datuk Dr Usman Awang (1929 - 2001)

 

Akan kupintal buih-buih

menjadi tali mengikatmu

 

Akan kuanyam gelombang-gelombang

menjadi hamparan ranjang tidurmu

 

Akan kutenun awan-gemawan

menjadi selendang menudungi rambutmu

 

Akan kujahit bayu gunung

menjadi baju pakaian malammu

 

Akan kupetik bintang timur

menjadi kerongsang menyinari dadamu

 

Akan kujolok bulan gerhana

menjadi lampu menyuluhi rindu

 

Akan kurebahkan matari

menjadi laut malammu

menghirup sakar madumu

 

Kekasih,

hitunglah mimpi

yang membunuh realiti

dengan syurga ilusi.

 

 

Tatkala Bersama Mu (When I am with you)

Senja kembali

 

Purnama rindu

Kata kata kekasih

membelai ku

 

Tatkala bersama mu

Malam berlabuh di tirai

 

***

at dusk

 

the moon in my palms

wings give flight to words of love

I sigh and tremble

 

when I am with you

 

night will be here soon

 

***

ninot

 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA 

Portfolio Tags