Kelington catat tempahan melebihi RM1 bilion mengatasi unjuran Malacca Securities bagi FY22 | DagangNews Skip to main content

Kelington catat tempahan melebihi RM1 bilion mengatasi unjuran Malacca Securities bagi FY22

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Sept - Kadar tempahan Kelington Group Berhad berjaya melepasi unjuran awal yang ditetapkan Malacca Securities bagi FY22.

 

Kumpulan itu merekodkan kadar tempahan sebanyak RM1.28 bilion mengatasi sasaran RM1 bilion yang diunjurkan selain berjaya mencatatkan rekod tempahan tetinggi pada FY21 sebanyak RM1.19 bilion.

 

"Kejayaan itu menyaksikan kami menaikkan unjuran tambahan tempahan kepada RM1.5 bilion bagi FY22 tetapi sasaran FY23 kekal pada paras RM1 bilion," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pada masa hadapan, KGB akan dilengkapi dengan tempahan terkumpul kira-kira RM1.87 bilion mewakili nisbah sebanyak 3.6x berbanding hasil FY21 sebanyak RM517.7 juta untuk memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh dalam tempoh dua tahun akan datang.

 

Pada masa sama, kadar tempahan kumpulan itu semakin menghampiri RM2 bilion dan kekal stabil terutama dalam segmen semikonduktor.

 

Firma itu berkata, pemain-pemain utama industri semikonduktor kekal komited untuk mengembangkan perniagaan mereka sebagai langkah memenuhi permintaan yang semakin bertambah.

 

Katanya, pengembangan fabrikasi wafer baharu dijangka menjana kapasiti terpasang tambahan sebanyak 8.7% pada 2022, diterajui oleh beberapa pemain terkenal seperti CR Micro, Silan, Texas Instruments, ST Microelectronics, Tower Semiconductor dan Semiconductor Manufacturing International Corporation (SMIC).

 

"Sebelum ini, Infineon Technologies telah mengumumkan pembinaan modul fabrikasi wafer ketiganya dengan harga RM8 bilion yang dijangka siap pada 3QFY24.

 

"Pada masa sama, DNEX dalam usaha bersama Foxconn merancang untuk membina kemudahan fabrikasi wafer 12 inci baharu seumpamanya yang pertama di Malaysia," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM1.70. - DagangNews.com