Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Volatiliti - 23 March 2022

Kerugian Wang Kerajaan RM65 Juta, Siapa Bertanggungjawab?

 

 

 

LAPORAN Ketua Audit Negara (LKAN) telah mengesan pembaziran, pemborosan dan kehilangan atau kerugian wang kerajaan yang berjumlah RM65 juta. Ini satu jumlah yang besar.

 

Di manakah kesilapan yang berlaku dalam pembaziran, pemborosan dan kehilangan atau kerugian wang kerajaan ini? Siapa pula yang bertanggungjawab dalam isu ini?

 

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN)

LKAN telah mengesan pembaziran, pemborosan dan kehilangan atau kerugian wang kerajaan yang melibatkan aktiviti Kementerian /Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan.

 

Audit telah dilakukan terhadap 7 kementerian dengan 10 laporan dilaporkan, LKAN Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan pula membabitkan pengesahan Penyata Kewangan kepada 147 agensi Kerajaan Persekutuan serta pengauditan pematuhan dilakukan kepada 5 agensi Kerajaan Persekutuan manakala bagi LKAN Tahun 2020 Siri 1 Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan, pengauditan dilakukan kepada 6 syarikat Berhad dengan 6 laporan dikeluarkan.

 

Dapatan Audit LKAN

LKAN telah mengesan pembaziran, pemborosan dan kehilangan atau kerugian wang kerajaan yang berjumlah RM 65 juta yang antaranya ialah:

 

  1. Kes Pembaziran: RM 16.77 juta

Pembaziran berjumlah RM16.77 juta membabitkan Pengurusan Program Pembangunan Tenaga Boleh Baharu di Kementerian Tenaga dan Sumber Asli

 

  1. Kes Kerugian Wang Awam: RM44.53 juta

Kerugian Wang Awam sebanyak RM 44.53 juta dalam menjalankan aktiviti kawalan Terhadap Penggajian Ekspatriat di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM)

 

  1. Kes Pemborosan:  RM2.81 juta

Kes pemborosan membabitkan Projek Menaik Taraf Perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di bawah Kementerian Pengangkutan berjumlah RM 2.81 juta.

 

Selain itu, LKAN Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan pula melaporkan berkaitan  isu membabitkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang gagal memulangkan wang caruman Kerajaan berjumlah RM695.06 juta kepada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) selain pembayaran dividen yang tidak teratur.

 

 

volatiliti

 

 

PAC pandang serius perkara ini

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memandang serius terhadap isu ini. PAC akan mengadakan mesyuarat khas bagi meneliti semua isu-isu yang dilaporkan oleh LKAN ini  dan akan memulakan prosiding selepas mendapat keputusan sebulat suara berhubung isu yang akan disiasat.

 

Kenali PAC

Jawatankuasa PAC terdiri daripada seorang Pengerusi dan Naib-Pengerusi yang akan dilantik oleh Majlis. Tidak kurang daripada enam dan tidak lebih daripada dua belas orang ahli ini akan dilantik oleh Jawatankuasa Pemilih dengan seberapa segera selepas dimulakan tiap-tiap Parlimen dijalankan.

 

Terkini PAC dipengerusikan oleh Wong Kah Wong dari Parlimen Ipoh Timur dan Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Panglima Azizah Datuk Seri Panglima Mohd Dun dari parlimen Beaufort.

 

Selain itu, PAC juga dianggotai oleh 12 ahli seperti Nurul Izzah Anwar dari Parlimen Permatang Pauh, Ahmad Fadhli Shaari dari Parlimen Pasir Mas, Datuk Shahudin Yahaya dari Parlimen Tasek Gelogor, Wong Shu Qi dari parlimen Kluang dan lain-lain lagi.

 

Punca Kuasa dan Peranan PAC

PAC menjalankan tanggungjawabnya berdasarkan:

  1. Perkara 77 (1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menetapkan tugas dan tanggungjawab untuk memeriksa:
  • Kira-kira Kerajaan Malaysia dan peruntukan wang yang dibenarkan oleh Parlimen kerana menepati perbelanjaan negeri;
  • Apa-apa kira-kira badan-badan pentadbiran raya dan pertubuhan-pertubuhan lain yang menguruskan wang negeri yang dibentangkan dalam majlis;
  • Penyata-penyata Pemeriksa Kira-kira Negara yang dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat menurut perkara 107 dalam Perlembagaan;
  • Apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Jawatankuasa itu patut diperiksa, atau apa-apa perkara yang diserahkan oleh Majlis kepada Jawatankuasa ini.

 

  1. Perkara 77(5), Perintah Tetap Dewan Rakyat menyatakan bahawa, "Jawatankuasa hendaklah mempunyai kuasa untuk menghantar orang, kertas dan rekod, dan melaporkan dari semasa ke semasa".

 

  1. Arahan Perbendaharaan Pindaan 2008 (Pindaan Arahan Perbendaharaan (AP) bertarikh 31 Julai 2008). Perkara 304 (a) & (b).

 

  1. Seksyen III, Perkara 11 (b), Pekeliling Am No. 2 (1982) menggariskan tugas dan bertanggungjawab Ketua Setiausaha Kementerian.
     

 

audit

 

Mantapkan  Peranan SEDA dan Polisi Tenaga Boleh Diperbaharui

Bagi isu pembaziran RM 16.77 juta yang membabitkan Pengurusan Program Pembangunan Tenaga Boleh Baharu di Kementerian Tenaga dan Sumber Asli ini, Kerajaan perlu segera mantapkan peranan dan fungsi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA).

 

SEDA yang ditubuhkan di bawah Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Lestari 2011 (Akta 726]) yang sepatutnya mentadbir dan menguruskan pelaksanaan mekanisme tarif galakan melalui mandat yang diberikan di bawah Akta Tenaga Boleh Baharu 2011 (Akta 725).

 

Jika SEDA menjalankan tanggungjawabnya dengan baik, mana mungkin pembaziran berbelas juta ini boleh berlaku?

 

Dalam masa yang sama SEDA perlu mengalas tanggungjawab mencapai Polisi Tenaga Boleh Baharu Kebangsaan bagi 20% kapasiti tenaga campuran bagi tenaga boleh baharu menjelang tahun 2025.

 

Memperkasa Modal Insan

Kita tidak boleh menuding jari sepenuhnya dalam isu kerugian wang awam sebanyak RM44.53 juta dalam menjalankan aktiviti kawalan terhadap penggajian ekspatriat di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) ini.

 

Negara masih lagi bergantung kepada kepakaran daripada luar urusan pengurusan dan pembangunan negara.

 

Namun begitu, apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan adalah dengan memperkasa modal insan bagi mengurangkan perbelanjaan wang awam dalam penggajian ekspatriat ini.

 

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) perlu mereformasi pasaran tenaga kerja di Malaysia dan menambah baik kecekapan & produktiviti tenaga kerja serta meningkatkan akses kepada pendidikan & Latihan yang berkualiti.

 

Pastinya banyak inisiatif yang telah dirangka di bawah Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia ke-12 berkaitan perkara ini dan diharap ia boleh “memperbaiki” pasaran tenaga kerja di Malaysia sekali gus mengurangkan kerugian wang awam dalam isu penggajian ekspatriat ini.

 

volatiliti

 

Teliti keperluan dan skop projek

Dalam isu pemborosan membabitkan Projek Menaik Taraf Perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berjumlah RM2.81 juta ini, KTMB perlu meneliti keperluan dan skop projek bagi mengelakkan pemborosan. KTMB juga perlu memastikan tadbir urus dan pemantauan yang  menyeluruh dan berkesan supaya pelaksanaan projek berjaya dicapai mengikut objektif yang ditetapkan.

 

Dalam isu pemborosan ini, penggunaan 10 jenis alat ganti bernilai RM2.81 juta bagi Projek “Overhaul Catenary System” yang dibuat secara tidak optimum oleh KTMB.

 

KTMB juga gagal mematuhi keperluan kontrak serta pengurusan inventori dan logistik yang lemah bagi projek “Overhaul Locomative - Blue Tiger”,  membelanjakan berjuta ringgit bagi perubahan skop kerja bagi Projek “Power Generating Car” daripada kerja overhaul kepada peroleh enjin baru dan beberapa isu lain.

 

Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid
                                      Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid

 

Pengauditan aktiviti kerajaan secara menyeluruh

Bagi mengelakkan perkara yang sama berlaku untuk tahun akan datang, apa yang boleh dilakukan dengan memperkasakan pengauditan prestasi terhadap aktiviti kerajaan. Audit prestasi ini bertujuan untuk menilai pencapaian objektif aktiviti, projek dan program kerajaan serta sama ada pelaksanaannya dilakukan dengan berhemat, cekap dan berkesan.

 

Selain itu, audit ini juga untuk menilai sejauh mana wang awam dibelanjakan dengan berhemat, cekap dan berkesan tanpa berlaku pemborosan serta pembaziran.

 

Perkara ini selaras dengan Seksyen 6 (d) Akta Audit 1957 serta berpandukan piawaian pengauditan antarabangsa yang dikeluarkan Pertubuhan Antarabangsa Institusi Audit Tertinggi (INTOSAI) yang dilihat boleh mengawal atau mengurangkan pembaziran, pemborosan dan kehilangan atau kerugian wang kerajaan- DagangNews.com

 
 
SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags