Malaysia kekal berdaya saing walaupun Indonesia batal larangan eksport minyak sawit - Zuraida | DagangNews Skip to main content

Malaysia kekal berdaya saing walaupun Indonesia batal larangan eksport minyak sawit - Zuraida

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Mei - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengingatkan semua pengusaha kelapa sawit, termasuk firma perladangan dan pekebun kecil, supaya tenang dan tidak terlalu bimbang berikutan Indonesia mengumumkan pembatalan larangan eksport komoditi itu berkuat kuasa 23 Mei 2022.

 

Menteri KPPK, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kementerian menjangkakan tidak akan ada penurunan harga yang mendadak memandangkan pasaran menjangkakan bahawa larangan eksport itu hanya bersifat sementara, walaupun ada kemungkinan menyebabkan harga minyak sawit mentah (MSM) terkesan.

 

Beliau berkata, penganalisis pasaran turut menjangkakan pengusaha minyak sawit Malaysia bakal meraih faedah terbesar dalam jangka panjang kerana mereka mampu menjual MSM pada harga tinggi, sekali gus meningkatkan margin keuntungan bagi pertengahan kedua 2022, ditambah dengan pengeluaran yang lebih tinggi tahun ke tahun (y-o-y) dan suku ke suku (q-o-q).

 

"Walaupun penarikan larangan eksport memberi kelegaan besar kepada penanam Indonesia, mereka sudah terlepas tempoh harga MSM yang tinggi (Februari-April 2022) apabila harga minyak sawit Indonesia didagangkan pada diskaun yang lebih besar berbanding Malaysia, akibat dasar kawalan eksport yang telah di dilaksanakan lewat Januari 2022," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Zuraida berkata, dasar Indonesia mampu memberi manfaat kepada Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia, memandangkan ia membolehkan negara muncul sebagai pembekal dominan ke India, yang merupakan pembeli utama minyak makan dunia.

 

Beliau berkata, cukai eksport Malaysia yang lebih rendah dan larangan eksport Indonesia mungkin menyebabkan sumbangan eksport minyak sawit Indonesia ke India jatuh kepada 35% pada tahun pemasaran semasa yang berakhir 31 Oktober 2022 daripada lebih 75% sedekad lalu.

 

"KPPK percaya bahawa harga MSM akan kekal pada paras tinggi, memandangkan ketidaktentuan pengeluaran minyak bijian utama (seperti kacang soya, jagung, biji serai dan biji bunga matahari) sama ada disebabkan oleh ketegangan geopolitik atau cuaca yang tidak menentu.

 

 

zuraida
Datuk Zuraida Kamaruddin

 

 

Katanya, walaupun Indonesia akan menyambung semula eksport minyak sawitnya pada 23 Mei 2022 (hampir sebulan selepas mengenakan larangan pada 28 April 2022), masih terdapat kemungkinan perubahan polisi memandangkan harga minyak sawit di pasaran domestik Indonesia masih belum turun ke tahap yang disasarkan (penarikan balik larangan ini boleh mengakibatkan berulangnya kekurangan domestik di Indonesia).

 

"Memandangkan prospek jangka sederhana hingga panjang industri minyak sawit Malaysia kekal cerah, KPPK ingin menyeru semua pengusaha kelapa sawit Malaysia untuk berganding bahu dalam membantu menjayakan kempen Minyak Sawit Malaysia Penuh Kebaikan yang bertujuan menentang pelbagai tanggapan salah berkenaan minyak sawit Malaysia dalam memacu kejayaan komoditi ini di peringkat global," katanya. - DagangNews.com