KUALA LUMPUR 5 Sept - Majuperak Holdings Bhd mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulannya merangkap pengarah eksekutif Nizran Noordin telah diberi cuti berkuat kuasa 2 Sept 2022 sehingga tamat kontrak perkhidmatannya pada 31 Oktober 2022.
Syarikat subsidiari Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPK) itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia memaklumkan bahawa ketua pegawai kewangannya, Syed Agil Syed Hashim, akan dilantik sebagai pemangku Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan untuk mengambil alih pengurusan harian kumpulan itu dan anak-anak syarikatnya.
Menurut kenyataan itu, Syed Agil mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam pengurusan kanan, korporat, kewangan, pembiayaan, perancangan perniagaan, dan pengauditan dalam profesion perakaunan dan perkhidmatan korporat.
Pada tahun 1995, beliau menyertai KPMG (Kuala Lumpur) sebagai Auditor Kanan untuk melaksanakan audit dalam pelbagai industri termasuk pembuatan, perdagangan, minyak & gas, hotel, dan syarikat tersenarai awam.
Beliau kemudian menyertai Perbadanan Pembangunan Multimedia sebagai Pengurus Kewangan selama kira-kira enam tahun sebelum menyertai Malaysian Biotechnology Corporation pada tahun 2006 dengan jawatan terakhirnya sebagai ketua pegawai pelaburan.
Pada 2021, beliau menyertai Perbadanan Kemajuan Negeri Perak sebagai timbalan ketua eksekutif sebelum menyertai MHB pada 1 Julai 2022, sebagai pengurus besar kewangan korporat. - DagangNews.com