SPRM ambil beberapa dokumen dari MoF, Khazanah, FashionValet | DagangNews Skip to main content

SPRM ambil beberapa dokumen dari MoF, Khazanah, FashionValet

KUALA LUMPUR 4 Nov - Beberapa dokumen kewangan telah diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kementerian Kewangan, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan FashionValet Sdn Bhd.

 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dokumen-dokumen itu diambil untuk dikaji dan disemak melibatkan siasatan kerugian RM43.9 juta daripada pelaburan Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet.

 

"Contohnya dari MoF (Kementerian Kewangan), Khazanah dan syarikat FashionValet. Jadi dokumen-dokumen ini untuk kita kaji dahulu dan semak tentang isu-isu kewangan dan sebagainya.

 

"Kita akan memaklumkan (perkembangan siasatan) dari semasa ke semasa. (Siasatan) baru bermula minggu lepas. Sabtu saya umum kita memulakan siasatan, jadi Sabtu dan Ahad pejabat tidak buka, jadi hari ini kita baru memulakannya," katanya.

 

Pada Sabtu, Astro AWANI melaporkan SPRM memulakan siasatan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami Khazanah dan PNB dalam FashionValet.

 

Azam berkata, siasatan itu penting memandangkan perkara itu melibatkan isu dana dan kepentingan awam.

 

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, pada 28 Oktober lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, FashionValet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.

 

Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.

 

Pada 31 Oktober, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengarahkan Khazanah, PNB dan FashionValet memberikan penjelasan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu dalam FashionValet. - DagangNews.com